Kawalan Keselamatan Malaysia Diketatkan Selagi Diperlukan – KPN

350
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengambil langkah berjaga-jaga peringkat tertinggi selagi mana diperlukan sewaktu pihak berkuasa meningkatkan langkah bagi memastikan keselamatan negara ini dan rakyatnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata, polis mahu menanamkan keyakinan di kalangan orang ramai yang keselamatan mereka dan negara ini dalam kawalan polis susulan serangan pengganas di Jakarta minggu lalu.

Beliau bagaimanapun menggesa orang ramai memainkan peranan dengan memaklumkan pihak berkuasa tentang mana-mana insiden meragukan yang mungkin ditemui mereka.

“Kami mahu beri keyakinan pada orang ramai yang keselamatan negara ini dalam kawalan, tetapi orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat terhadap perkara yang meragukan,” katanya di ibu pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.Minggu lalu, Khalid mengumumkan Malaysia berjaga-jaga pada peringkat tertinggi selepas penganalisis keganasan berkata Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) kini menyebarkan operasinya ke Asia, melangkaui Timur Tengah dan Eropah.

Katanya, selepas serangan di Jakarta, langkah keselamatan dipertingkatkan di tempat awam seperti di kompleks beli-belah dan kawasan tumpuan pelancong dan langkah berhati-hati akan dilaksanakan di sempadan bagi mengelakkan kemasukan pengganas.

Hujung minggu lalu, Khalid berkata satu pasangan dari Perak adalah di antara 4 orang yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti Isis minggu lalu.

Mereka berumur di antara 23 dan 28 tahun, dan seorang daripadanya adalah bekas ejen insurans yang merancang serangan berseorangan di kawasan hiburan di Kuala Lumpur.

“Dia juga individu yang bertanggungjawab menggantung beberapa bendera Isis di beberapa tempat termasuk di Perak, Selangor dan Johor sebagai peringatan kepada kerajaan agar menghentikan penangkapan penyokong Isis,” katanya.

Semuanya ditahan untuk membantu siasatan.

Khalid berkata, mereka dilatih Muhammad Wendy Mohamed [email protected] Hamzah.

“Wendy yang menyertai militan Isis di Syria mempengaruhi keempat-empat mereka melalui Facebook dan aplikasi Telegram. Dia juga bertanggungjawab cuba menyeludup mereka masuk ke Syria,” kata Khalid.

SHARE
Previous articleKertas Siasatan SRC International, RM2.6b Dikembalikan – Peguam Negara
Next articleDakwaan Rafizi Berulang Kali Salah – 1MDB