Kastam Sasar Kutip RM39 Bilion GST Pada 2016

91
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasar RM39 bilion bagi kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk tahun 2016.

Menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad, ia dapat dicapai melalui usaha jabatan untuk mendaftar kira-kira 100,000 syarikat pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 500,000 syarikat berbanding 400,519 tahun lalu.

“Sepatutnya lebih banyak syarikat yang didaftarkan dalam sistem kita berbanding angka sekarang. Tidak adil kepada syarikat yang sudah berdaftar apabila ada yang belum berbuat demikian,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Kastam dijangka melancarkan ‘Ops Jejak GST 2016′ bermula 17 Januari hingga 22 Februari ini bagi menjejak dan mendaftar syarikat atau perniagaan yang layak tetapi masih tidak berbuat demikian.

“Maklumat kita mendapati ada syarikat yang mempunyai bekalan boleh dicukai lebih daripada RM500,000 tetapi masih tidak berdaftar untuk GST.

“Ada banyak sebab mengapa mereka masih tidak berdaftar, tetapi inilah tujuan operasi ini. Bukan untuk mencari kesalahan, tetapi untuk mendidik dan memberitahu bagaimana sistem ini berjalan,” katanya.

Katanya lagi, ‘Operasi Jejak’ ini akan dibahagikan mengikut zon tengah, timur, utara, selatan, Sabah dan Sarawak serta melibatkan 1,500 kakitangan pelbagai peringkat.