Kartunis Perlu Hasilkan Karya Bersifat Membina Negara – Najib

84
0
SHARE

PUTRAJAYA: Golongan kartunis di negara perlu menghasilkan karya yang bersifat membina negara supaya nilai saling menghormati antara rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia dapat terus dikekalkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebarang perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat melalui karya kartun perlu dielakkan kerana ia hanya menimbulkan ketegangan dan konflik.

Beliau berkata, walaupun ada sesetengah pihak menyifatkan ia sebagai hak kebebasan untuk bersuara namun tidak ada kebebasan yang mutlak dan semuanya mesti berserta dengan tanggungjawab.

“Ada perkara yang tidak sepatutnya dijadikan sentuhan dalam bentuk kartun seperti rasul dan nabi. Ini telah berlaku apabila (majalah) Charlie Hebdo melakar gambar Nabi Muhammad yang kedudukannya begitu tinggi di sisi Islam.

“Kita perlu faham sensitiviti seperti ini dan kalau kita saling menghormati, Malaysia sebagai negara pelbagai budaya tidak akan menghadapi banyak masalah dan boleh bergerak ke arah lebih harmoni dan padu,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kampung Boy 2015 dan Sambutan Setengah Abad Karya Lat di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; kartunis terkemuka negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat dan Presiden Kelab Kartunis Malaysia (KKM), Mohamad Desa Omar atau Juragan.