Karnival Bahasa Jiwa Bangsa Bermula Di Negeri Jelapang Padi

318
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

ALOR SETAR: Karnival Bahasa Jiwa Bangsa 2015 peringkat kebangsaan hari ini dan esok di Stadium Sultan Abdul Halim adalah tanda bermulanya  sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2015.

Karnival dua hari ini antara lain dimeriahkan dengan pameran dan jualan buku, eksplorasi bahasa, pertandingan lagu puisi pelajar antarabangsa, pertandingan deklamasi puisi dan pantun berirama serta diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu Datuk Ramli Sarip dan Noraniza Idris.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan menyifatkan sambutan di negeri jelapang padi ini adalah kesinambungan kepada penggiliran antara negeri agar kegiatan dan aktiviti sastera dan budaya tidak hanya bertumpu di ibukota Kuala Lumpur sahaja.

“Pantun berirama adalah satu persembahan yang luar biasa apabila pantun dinyanyikan dengan lagu tradisional seperti Joget Pahang dan Lemak Manis,” ulasnya mengenai keunikan program pada kali ini.

Beliau turut menceritakan mengenai jelajah Kembara Bahasa yang bermula sejak 2012 yang membuat kajian dan tinjauan tentang kearifan setempat seperti kosa kata, dialek, kesenian, pertukangan dan makanan tradisi.

Tambah Awang Sariyan lagi aktiviti sebegini akan terus diberikan nilai tambah dan diperluaskan kepada golongan bukan sasterawan dan budayawan seperti di kalangan jurutera, korporat, birokrat dan teknokrat.

Malah Bulan Bahasa Kebangsaan yang telah bermula awal dengan pra sambutan pada akhir bulan lalu dan bakal disusuli dengan pasca sambutan pada bulan November dan Disember nanti untuk menambah pengisian acara yang sedia ada.

Rangkaian media MySuara sebagai rakan media penyiar rasmi akan menyiarkan secara langsung acara Malam Bahasa Jiwa Bangsa pada jam 8.00 malam ini dan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 pada jam 9.00 pagi esok yang kedua-duanya dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

Siaran program tersebut boleh diikuti di laman sesawang www.mysuara.tv dan www.youtube.com/mysuaratv.

SHARE
Previous articleTidak Ada Rancangan Pecat Rafizi – Azmin
Next articleKomponen BN Mesti Kembali Ke Prinsip Asas Penubuhannya – Najib