Kalau Berani, Tangkaplah Tun M Guna Sosma – Saifuddin

679
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mendakwa pihak berkuasa menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) secara pilih kasih, bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah mempersoalkan kenapa akta itu tidak digunakan mengambil tindakan ke atas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Adakah mereka takut untuk menangkap Dr Mahathir? Sebab itu saya kata kalau berani tangkaplah Dr Mahathir sekali. Saya tak mencadangkan tangkap Dr Mahathir,” kata Saifuddin kepada wartawan hari ini.

Meskipun begitu, Saifuddin yang juga pengerusi Akademi Belia itu berkata, Sosma tidak sepatutnya disalahgunakan untuk menangkap individu, merujuk kes bekas pemimpin Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Khairuddin ditahan di bawah Sosma kerana membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum itu, beliau ditahan polis di rumahnya di Mont Kiara pada 18 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Beliau dan peguam Mathias Chang dihalang daripada meninggalkan negara oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Dr Mahathir pengkritik paling lantang isu 1MDB dan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan kerana dakwaan skandal kewangan yang melibatkan beliau selaku pengerusi lembaga penasihat firma pelaburan milik Kementerian Kewangan itu.

Bercakap pada satu sidang media berkenaan Sosma bersama wakil kumpulan masyarakat sivil dan organisasi bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur hari ini, Saifuddin berkata akta itu tidak seharusnya dikenakan ke atas Khairuddin.

“Hakikatnya kita tak hendak (tindakan) tangkap-tangkap ini. Saya bersama kumpulan ini (NGO) kerana kita nak dia (Khairuddin) dibebaskan daripada Sosma. Itu pokok persoalannya.

“Kenapa guna Sosma? Walaupun cara lain kita ada masalah. Dan bagi saya, tak boleh guna Sosma untuk tangkap Khairuddin.

“Kalau dia bukan ahli politik pun, tak sepatutnya guna Sosma untuk tangkap dia,” katanya.

Bekas timbalan menteri itu turut mendakwa Sosma digunakan pemimpin tertinggi Umno untuk menakut-nakutkan ahlinya yang cuba menjatuhkan presiden parti.

“Kalau sudah ditunjukkan apa yang mungkin berlaku kepada mana-mana ahli Umno, ini adalah cara untuk menakut-nakutkan (fear tactic).

“Satu penerusan dari cara-cara menggunakan taktik (ini) untuk tidak lagi seberani Khairuddin,” kata Saifuddin.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam), Datuk Ambiga Sreenevasan, pengasas Centre to Combat Corruption and Corruption (C4), Cynthia Gabriel dan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy. – INSIDER