Kajian PBB dan Pricewaterhouse Dapati TPPA Tak Menguntungkan Negara – Wan Azizah

137
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Kajian Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta firma audit dan kewangan antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC) mendapati bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak membawa keuntungan kepada negara menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Perjanjian berat sebelah itu juga menghakis kedaulatan negara apabila syarikat gergasi asing menguasai sektor perdagangan strategik,” jelas Wan Azizah pada sidang media Pakatan Harapan yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen petang tadi.

Tambahnya lagi, negara bakal menanggung risiko besar berdepan tindakan undang-undang dan ini boleh menyebabkan kerajaan mengalami kerugian apabila terpaksa membayar ganti rugi yang tinggi kepada syarikat asing dalam pertelingkahan industri.

Menurut Wan Azizah perjanjian TPPA tidak memberi jaminan kepada syarikat kecil dan sederhana untuk bersaing di peringkat global tanpa perlindungan serta bantuan kewangan dan teknikal kerajaan.

“Keadaan itu menyumbang kepada rakyat kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat,” jelasnya.

Sementara itu, Wan Azizah dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat pula mendakwa penggunaan nama TPPA begitu samar dan berbeza dengan versi Eropah yang dikenali sebagai Perjanjian Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Trans-Atlantic (TTIP).

“Hanya 6 daripada 30 bab perjanjian TPPA bersangkut dengan perdagangan. Selebihnya berkaitan dengan hak dan perlindungan pelabur dan bab-bab bukan perdagangan.”

Beliau kemudian menyifatkan ahli-ahli parlimen yang menyokong perjanjian itu sebagai bersetuju agar kedaulatan negara diswastakan kepada syarikat multinasional.

“Ini adalah Perjanjian ‘Penswastaan’ Trans-Pacific sebenarnya,” sinisnya.