Kaji Kemungkinan Berlaku Kepincangan Program Subsidi ST15 – Ahmad Shabery

196
0
SHARE

ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memberi perhatian serius terhadap kemungkinan berlaku kepincangan dan ketirisan dalam pelaksanaan program subsidi beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15).

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata memandangkan terdapat aduan terhadap pelaksanaan program itu, kemungkinan terdapat kepincangan mengenainya perlu diteliti.

“Saya akan meneliti perkara ini. Jikalau sudah ada aduan, sudah tentu ada kemungkinan kepincangan dan ketirisan dan perkara ini perlu diberikan perhatian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kedah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di sini. Menurut Ahmad Shabery, beliau difahamkan di bawah program itu, Kedah diperuntuk 7,000 tan beras ST15 menerusi pelantikan 91 pemborong.

Dalam prosiding April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) ketika itu Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata program subsidi beras ST15 memerlukan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pengagihan yang telus serta sistematik.

SOP dan pengagihan yang telus itu katanya, perlu bagi memastikan wang rakyat yang dibelanjakan untuk program itu benar-benar mencapai matlamat bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan. Tahun lepas katanya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM500 juta untuk membekalkan 60,000 metrik tan beras ST15 kepada mereka yang tidak berkemampuan.

Sementara itu Ahmad Shabery berkata, golongan peladang, penternak dan nelayan perlu diberikan pengiktirafan sebagai wira kerana usaha mereka membekalkan pelbagai jenis makanan kepada rakyat.

Disebabkan usaha golongan ini katanya, rakyat mampu menikmati pelbagai jenis makanan ketika ini daripada ayam, daging, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai kenikmatan yang lain.

“Mereka perlu diberikan pengiktirafan dan kita akan memastikan mereka tidak terus terbeban, terpinggir dan berhadapan dengan kemiskinan serta pelbagai masalah lain. Mereka perlu dibela,” katanya.