KAFA, Dr Vida Berbincang Petang Ini

472
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada syarikat produk kecantikan milik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akan menaja pasukan Kelantan musim ini, bakal diketahui pada petang ini.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida dijadual mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di ibu negara, selepas solat Jumaat nanti.

Kedua-duanya sudah pun membuat pengesahan mengenai pertemuan penting itu. Vida memaklumkan sendiri kepada BH semalam manakala Annuar melalui kenyataannya dalam akaun Faceboook miliknya lewat malam tadi.

“Saya akan temui DS VIDA Ptg esok (Jumaat) dan meneliti pelbagai aspek tawaran tajaannya.

Pada dasarnya saya mengalu-alukan kesediaan sesiapa saja yg ingin menaja TRW ..kesungguhan Dato Vida patut dicontohi usahawan terutama Anak Kelantan yg lain. ..saya hanya mendoakan dan mengusahakan yg terbaik buat TRW ..saya SENTIASA bersyukur dan berbangga DGN PENCAPAIAN TRW…kita harus terus Memburu kejayaan..”

Cadangan mengenai penajaan Vida untuk skuad The Red Warriors (TRW) menerusi syarikatnya yang terkenal dengan produk Qu Puteh itu, dicetuskan akhbar BH pada 28 Disember lalu.

Ia susulan daripada pertemuan makan malam Annuar dengan usahawan wanita terkenal itu yang dilapor berminat untuk bekerjasama dengan KAFA bagi membantu membangunkan pasukan bola sepak Kelantan.

Selepas itu, pelbagai laporan disiarkan mengenai cadangan penajaan berkenaan.

Ini termasuk dua syarat dikenakan Vida bagi persetujuan penajaan berkenaan iaitu mengecat Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu dan menukar nama pasukan Kelantan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Terbaharu, beliau juga mengumumkan kesediaan mengeluarkan penajaan sebanyak RM16 juta selama dua musim.