Kadar Gaji Minimum RM1,000 Bermula Julai – Ismail

128
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan kadar gaji minimum yang ditetapkan untuk pekerja bermula Julai ini adalah RM1,000.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata keputusan itu diambil selepas melibatkan pelbagai aspek termasuk kos sara hidup dan perkembangan ekonomi negara.

Katanya, semakan kadar gaji minimum dibuat dua tahun sekali untuk memastikan produktiviti dan daya saing pekerja berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan buat semakan dua tahun sekali. Ia selaras dengan Akta Gaji Negara dan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kos sara hidup, daya produktiviti majikan dan sebagainya.

“Semakan seterusnya adalah pada 2018,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Su Keong Siong (DAP) yang bertanya status terkini perlaksanaan gaji minimum negara.

Dalam pada itu, Ismail memaklumkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak adalah RM920.

Tegasnya, mana-mana majikan yang gagal mematuhi kadar tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Sejak 2014, sebanyak 692 majikan telah didakwa daripada 81,200 pemeriksaan yang dilakukan.

“Daripada jumlah itu juga, satu peratus atau 1,172 majikan didapati tidak mematuhi peraturan berkenaan,” ujarnya.

Ismail memberitahu kadar itu turut melibatkan gaji pekerja asing yang bekerja di negara ini. – AWANI