Kadar Elektrik Naik 2016

424
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengurangan rebat tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan mengakibatkan pengguna perlu membayar lebih 0.73 sen bagi setiap kilowatt per jam (kWj) untuk tempoh 6 bulan pertama tahun depan.

Rebat bagi Sabah dan Labuan, bagaimanapun, kekal pada 1.20 sen/kWj, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Putrajaya hari ini.

Ongkili berkata rebat di semenanjung akan dikurangkan daripada 2.25 sen/kWj kepada 1.52 sen/kWj.

Tarif asas elektrik keseluruhannya akan kekal sama seperti tempoh semasa, pada purata 38.53 sen/kWj bagi semenanjung, dan 33.32 sen/kWj bagi Sabah dan Labuan.

Beliau juga mengumumkan penjimatan kos sebanyak RM762.03 juta daripada Julai hingga Disember 2015 dalam Pelepasan Kos Bahan Api Dan Penjanaan (Imbalance Cost Pass-Through), yang mengambil kira perubahan dalam kos bahan api dan kos penjanaan kuasa.

“Penjimatan ini diperoleh daripada pengurangan harga pasaran global gas asli cecair (LNG) serta peningkatan dalam kecekapan stesen janakuasa gas dan arang batu,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya.

Untuk Sabah dan Labuan, pengurangan tarif dapat dikekalkan kerana penurunan harga minyak mentah dunia, katanya.