Kabinet Putus ‘Vape’ Tidak Diharamkan

161
0
SHARE

KUALA LUMPUR : Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan bahawa kerajaan tidak akan mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini.

Perkara itu disahkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi entri Facebook beliau hari ini.

“Berita baik untuk pengguna vape, pembuat vape dan peniaga vape.. Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan kerajaan yang memahami aspirasi anak muda,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan bahawa kerajaan akan mempertimbang untuk mengharamkan penggunaan vape dalam masa terdekat bagi mengelak risiko lebih buruk terhadap kesihatan penggunanya.

Bagaimanapun, nada berbeza disuarakan timbalannya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam yang memberitahu belum ada keputusan muktamad dibuat berhubung cadangan pengharaman rokok elektronik.

Justeru itu katanya, penjualan dan penggunaannya tidak dihalang, berikutan setakat ini tiada undang-undang khusus mengenainya.

Dr Hilmi berkata kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai penggunaan dan penjualan rokok elektronik itu sebelum merangka akta baharu berhubung perkara itu.

Dr Hilmi berkata kementerian juga sedang meneliti aspek undang-undang penguatkuasaan untuk diguna pakai bagi menambah baik akta sedia ada bagi membolehkan tindakan pengharaman itu dilaksanakan.

SHARE
Previous articleTony Pua Hanya Tahu Cakap Besar – Bung Mokhtar
Next articleBancian UMNO: 80% Mahu Tindakan Ke Atas Pemimpin ‘Derhaka’