Jumpa Trump Atau Tidak, Najib Tetap Dikritik Pembangkang – Salleh Keruak

18
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pembangkang tetap mengkritik apa sahaja yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Najib dijadikan isu oleh pemimpin pembangkang.

“Sekiranya Najib tidak bertemu pemimpin asing seperti presiden Amerika Syarikat, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia adalah kerana Najib takut untuk melakukan perjalanan ke negara lain sekiranya beliau ditangkap.

“Kemudian, ketika Najib pergi ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan Presiden Donald Trump, mereka mengatakan perdana menteri membayar pelobi untuk mengaturkan pertemuan itu,” kata Salleh menerusi catatan terbaharu dalam blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.

Beliau berkata, apa sahaja tindakan dilakukan Najib tidak dapat memuaskan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan kerana mereka hanya mahu mengkritik, bukan untuk kebaikan negara.

“Mereka ingin memberi gambaran tiada apa yang dilakukan Najib adalah betul dan hanya Dr Mahathir dan Pakatan Harapan sahaja yang betul.

“Masalahnya ialah Dr Mahathir menggunakan standard dan tindakan beliau untuk menilai Najib.

“Hanya kerana Dr Mahathir membayar jutaan kepada pelobi untuk pertemuannya dengan Presiden Bush, ini tidak bermakna Najib mesti melakukan perkara sama,” katanya.

Salleh berkata: “Dr Mahathir tidak mungkin dapat bertemu Bush, melainkan beliau membayar untuk pertemuan itu…oleh itu pembangkang fikir Najib juga tidak dapat bertemu dengan Trump, melainkan beliau membayar untuk mesyuarat itu.

“Mereka tidak boleh menerima hakikat Dr Mahathir perlu bayar untuk bertemu Bush, manakala Najib tidak perlu berbuat demikian untuk bertemu dengan Trump. Itulah yang paling menjejaskan Pakatan Harapan,” katanya.

Pada 12 September lepas, Najib mengadakan pertemuan dengan Trump di Rumah Putih di Washington.