Johor Sahut Cabaran TVET Bajet 2016

240
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyambut baik Belanjawan 2016 yang memperuntukkan RM4.8 bilion kepada 545 institusi latihan kemahiran bagi Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET).

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan perasmian Mesyuarat Majlis Kerjasama Kepimpinan Yayasan (MKKY) malam tadi menyifatkan sasaran kerajaan untuk memastikan 60 peratus daripada 1.5 juta tenaga kerja baharu adalah pekerja berkemahiran sebagai satu cabaran besar kepada institusi latihan kemahiran.

“Salah satu cabaran besar ialah mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang kemahiran dan kecenderungan masyarakat terhadap bidang akademik semata-mata,” jelasnya tentang peranan yayasan-yayasan pendidikan negeri untuk menyediakan laluan kerjaya yang jelas untuk bakal siswazah TVET.

“Ketika menjadi Menteri Pengajian Tinggi, saya dimaklumi bahawa keperluan tenaga kerja pada masa depan adalah dengan nisbah seorang siswazah lulusan akademik bersamaan dengan empat orang siswazah lulusan kemahiran.”

Tambahnya lagi, kerajaan negeri telah melancarkan program Johor Mahir sebagai satu strategi memanfaatkan pembangunan pesat terutamanya dengan pelaburan RM1.8 bilion untuk Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) PETRONAS dan keseluruhan pelaburan di selatan tanah air itu yang berjumlah RM28 bilion.

“Johor telah memiliki Hab Kemahiran Johor di Kota Tinggi dengan pelaburan RM108 juta selain dua hab pendidikan tinggi iaitu Educity di Nusajaya dan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP),” tambahnya mengenai hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan pekerja global yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga berkemahiran tinggi.