Jihad Perangi Dadah Cipta Solusi Semua Sisi – MPM

28
0
SHARE

Oleh: Fadhil Daud

KUALA LUMPUR: Isu penyalahgunaan dadah kian menular secara meluas dari kalangan anak-anak muda dan pelajar, walaupun pelbagai usaha dilaksanakan untuk membanteras pengedaran dan penyalahgunaannya tiada berkesudahan.

Sejak dari tahun 80-an dadah masih menjadi musuh utama negara yang perlu diberi penekanan, kerajaan terpaksa menghabiskan jutaan ringgit  malah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun  masih lagi buntu menyelesaikan kemelut ini.

Stastistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2016 menunjukkan seramai 30, 847 penagih berjaya direkodkan, daripada jumlah itu seramai 22,925  atau 74.3 peratus penagih baru (pertama kali) dan sebanyak 7,922 atau 25.7 peratus  penagih berulang dicatatkan.

Daripada perangkaan itu, bangsa Melayu mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 24,902 atau 80.7 peratus  manakala golongan belia yang berumur di antara  19 hingga 39 merupakan golongan yang mendominasi.

AADK percaya bahawa jumlah penagih tidak dikesan  adalah jauh lebih besar daripada data yang diperolehi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan  Jenayah Bahagian Narkotik Bukit Aman, SAC Tuan Zulkifli Ali berkata, isu militan DAESH dan masalah dadah ini menyulitkan jika tidak di banteras secara drastik dan berkala.

Tambahnya, dadah kini berubah mengikut aliran ‘trend’ semasa dari tradisional kepada yang moden (sintetik), dari urus niaga lisan bertukar kepada jual beli ‘online’ dan penghantaran kurier secara terang-terangan.

“Perubahan trend ini adalah mengikut  perubahan global. Ekoran itu, kemunculan pengeluar negara-negara baru dengan jenis-jenis dadah yang baharu dan unik membimbangkan, Malaysia juga tidak terkecuali.

“Untuk makluman selain kita memerangi dadah dari memasuki negara, kita juga memerangi sidiket dari  menjadikan Malaysia sebagai transit dadah dunia.

“PDRM juga bimbang dengan kemasukan sidiket antarabangsa yang mengambil  kesempatan menggunakan pas pelajar dalam memperkembangkan aktivitinya dari di hidu pihak berkuasa,” ujarnya.

Yayasan Sukarelawan Siswa, Wan Ahmad Hazman Wan Daud yang mewakili suara anak muda menegaskan bahawa masyarakat hari ini suka mengambil sikap berdiam diri dan tidak mencampuri hal yang berlaku di sekitar.

“Budaya ‘aku, aku dan kau, kau’  masih lagi diamalkan oleh masyarakat kita. Seolah-olah tiada kesedaran.

“Peranan ibu bapa cukup penting dalam membendung gejala ini. Tiada lagi ‘engagement’ kekeluargaan yang berlaku sehinggakan anak-anak berasa tersisih dan cenderung melakukan aktiviti memudaratkan.

“Kekosongan ada ada dalam diri anak-anak disambut oleh kawan sebaya yang rosak akhlak dan tingkah laku”,  Katanya.

Beliau juga memetik kajian Partnership For Drug Free America yang membuktikan bahawa lebih 50 peratus remaja tidak akan mendekati dadah, sekiranya diberikan kesedaran yang sempurna dalam kalangan ahli keluarga terutamanya ibu.

Ahmad juga kesal dengan segelintir ibu bapa yang menyerahkan sepenuh pendidikan berkaitan bahaya dadah kepada pihak sekolah.

“Mungkin kita boleh mempertimbangkan semula untuk  memendekkan jam bekerja ibu bapa agar masa bersama anak-anak dapat diisi sebaiknya.

“Kita juga boleh memikirkan bagaimana elemen keibubapaan dapat dipertingkatkan mengikut peredaran zaman”,  tambahnya ketika membentangkan kertas cadangan Forum Jihad Memerangi Dadah anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Dewan Utusan Melayu Berhad.

Turut hadir Setiausaha Agung MPM, Profesor Datuk Dr  Hasan Mad, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan,  Datuk Abdul Aziz Ishak,  Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia,  SAC Nordin bin Muhamad dan Penolong Pengarah Antarabangsa Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Hamizan bin Haidzir.