Jerebu: Sekolah Ditutup Lagi Esok

35
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di beberapa negeri yang diarahkan tutup pada Isnin akan terus ditutup pada Selasa berikutan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi kawasan tersebut masih berada pada tahap tidak sihat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Tawau di Sabah, Kuching dan Samarahan di Sarawak akan terus ditutup pada Selasa.

Pada masa sama, katanya, sekolah di Lahad Datu, Semporna dan Kunak di Sabah serta Muar, Ledang dan Segamat di Johor turut diarahkan tutup pada Selasa.

“Berdasarkan pemantau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga pukul 1 petang hari ini (Isnin), didapati tahap bacaan IPU bagi kebanyakan kawasan tersebut masih berada pada tahap tidak sihat.

“Beberapa kawasan dan daerah lain juga didapati menunjukkan trend peningkatan pada bacaan IPU,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata penutupan tersebut akan melibatkan kira-kira 3,029 sekolah dan seramai 1,909,842 murid di negeri dan daerah yang terjejas.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah terlibat hendaklah memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing berhubung penutupan ini dengan kadar segera,” katanya.

Mahdzir berkata pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah termasuk pengurusan sekolah di seluruh negara hendaklah sentiasa memantau bacaan IPU yang dikeluarkan pihak berwajid dari semasa ke semasa.

“Sekiranya berlaku peningkatan tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat, maka pihak berkenaan boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing seperti yang ditetapkan KPM,” katanya.

SHARE
Previous articlePengerusi PAC Baharu Jamin Siasatan 1MDB Diteruskan
Next articleKu Li Nafi Akan Sokong Undi Tak Percaya Terhadap Najib