Jerebu: Penutupan Universiti Bergantung Kepada Naib Canselor

128
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

SHAH ALAM: Keadaan jerebu yang melanda negara semakin membimbangkan sehingga lebih 3,000 sekolah terpaksa ditutup bagi langkah keselamatan.

Namun bagi universiti pula, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, situasi institusi berkenaan berbeza dengan sekolah sama ada ia ditutup atau tidak kerana keadaan jerebu ini.

“Situasi berbeza antara universiti dan juga sekolah yang mana sekolah menerima arahan daripada pengarah pendidikan manakala universiti pula mempunyai Naib Canselor mereka sendiri yang sememangnya faham keadaan penuntut.

“Memang kita sudah menurunkan kuasa kepada setiap Naib Canselor sama ada penuntut boleh meneruskan pembelajaran atau pun tidak. Bagaimanapun kita peka dengan keadaan tersebut dan memberitahu kepada setiap Naib Canselor supaya kurangkan aktiviti luar,” katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada universiti awam ditutup kerana jerebu.

Idris juga berkata, sekiranya jerebu tidak menganggu sistem pembelajaran ia bermakna sesebuah universiti masih beroperasi seperti biasa.

Sebelum itu, Idris hadir ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi melancarkan Majlis Pelancaran Tadbir Urus 1 UiTM Multisystem di Dewan Agong Tuanku Canselor.