Jerebu: Operasi Pembenihan Awan Dijalankan Setiap Hari

113
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan dijalankan hampir setiap hari sebaik sahaja negara dilanda jerebu awal bulan lalu di kawasan yang mempunyai awan kumulus yang mencukupi, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Beliau berkata kerajaan mempunyai sumber mencukupi untuk meneruskan operasi pembenihan awan di seluruh negara terutamanya kawasan yang dilanda jerebu teruk.

“Setakat ini, kami tiada masalah dengan pembiayaan dan peralatan kami sentiasa diletakkan dalam keadaan siap sedia. Kami boleh melakukannya pada bila-bila masa di mana sahaja apabila situasi memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres Antarabangsa Polimer dan Persekutuan Pertubuhan Polimer Asia Ke-4 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa.

Acara itu dihoskan lebih kurang 160 peserta dari 16 negara untuk mempamerkan produk dan teknologi daripada pemain industri polimer terkemuka dengan anjuran bersama ECMI ITE Asia Sdn Bhd dan Institut Kima Malaysia.

Abu Bakar turut menolak dakwaan bahawa kementerian itu menggunakan bahan kimia berbahaya semasa operasi pembenihan awan.

“Tiada ada bahan seperti bahan kimia berbahaya yang digunakan dalam operasi pembenihan awan.

“Bahan-bahan yang digunakan untuk pembenihan awam adalah natrium klorida, iaitu garam biasa digunakan dalam masakan. Apabila campuran garam disembur ke atas awan, awan menjadi berat dan ia akan bertukar menjadi hujan. Bagaimana itu boleh membahayakan orang ramai?,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak percaya kepada khabar angin yang tersebar di laman media sosial dan hanya mendapatkan maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met).

Satu kenyataan menjadi viral menerusi WhatsApp dan Facebook baru-baru ini mendakwa bahawa kementerian itu menggunakan bahan kimia berbahaya untuk menghasilkan hujan dan menasihatkan orang ramai agar tidak terkena air hujan tersebut kerana ia akan menyebabkan kegatalan kulit.

Ketika ditanya sama ada kementerian itu akan meningkatkan operasi pembenihan awan, Abu Bakar berkata ia hanya bergantung kepada keadaan jerebu pada bulan yang akan datang.

“Sekiranya keadaan memerlukan, kami sentiasa bersedia. Kami tiada masalah dengan pembiayaan,” katanya.