Jerebu Di Seluruh Negara Dijangka Berterusan – Wan Junaidi

87
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di seluruh negara akan berterusan berikutan dua ribut tropika yang masih aktif di Lautan Pasifik, iaitu Ribut Tropika Koppu dan Ribut Tropika Champi yang mempengaruhi corak tiupan angin di kawasan serantau, termasuk Malaysia, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, kehadiran kedua-dua ribut itu telah mempengaruhi corak tiupan angin di kawasan serantau, termasuk Malaysia.

“Ketika ini, Ribut Tropika Koppu berada pada kedudukan kira-kira 1,132 km ke arah Utara Timur Laut Kudat, Sabah, selepas membadai Pulau Luzon, Filipina malam tadi.

“Taufan ini sedang bergerak ke arah Barat menuju ke tanah besar China dengan kelajuan 15 kmsj, manakala taufan Champi pula berada pada kedudukan kira-kira 2,845 km ke Timur-Timur Laut Kudat, Sabah dan sedang bergerak ke arah Barat Laut dengan kelajuan 20 kmsj,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, kedua-dua ribut tropika itu akan menyebabkan angin dari arah barat daya membawa jerebu merentas dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia ke negara ini.

“Pada masa sama, taburan hujan juga dijangka berkurangan kerana kawasan serantau negara akan dipengaruhi oleh tiupan angin Barat Daya dengan kelajuan yang sederhana.

Menurutnya, pemantauan oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mendapati jumlah titik panas di Kalimantan meningkat kepada 176, berbanding 68 titik panas sebelum ini, manakala tiada cerapan dapat dibuat di Sumatera berikutan awan tebal.

Wan Junaidi berkata, Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC menunjukkan, sebahagian asap jerebu tebal dan sederhana dari Sumatera tengah dan Selatan telah meliputi sebahagian Semenanjung Malaysia, manakala sebahagian asap jerebu tebal dan sederhana dari Kalimantan tengah menghala ke barat Sarawak dan timur Sabah.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS), akan terus memantau rapi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara melalui 52 stesen pengawasan kualiti udaranya.

“Mekanisme tindak balas semasa berlakunya jerebu adalah mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan semua tindakan-tindakan itu telah diambil oleh agensi yang terlibat,” katanya.