Jelaskan 1MDB, Derma Dalam Sidang Tergempar Parlimen – PKR

224
0
SHARE

KUALA LUMPUR: PKR hari ini menyokong DAP menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerangkan mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang diterimanya dalam satu sidang tergempar Dewan Rakyat.

Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, soalan berhubung derma itu ditimbulkan pada Persidangan Antarabangsa Pencegahan Rasuah ke-16 (IACC) baru-baru ini senada dengan pendirian rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan Bersih 4 hujung minggu lepas.

Katanya, majoriti rakyat Malaysia, termasuk badan yang mewakili kumpulan anti rasuah antarabangsa mengkritik sikap berdiam diri perdana menteri terhadap dakwaan derma yang diterima beliau dalam akaun peribadinya.

“PKR turut sama mempersoalkan siapa yang memberikan AS$700 juta itu dan apakah tujuan derma itu?

“PKR mendesak supaya dipanggil suatu sidang tergempar Parlimen Malaysia dalam kadar segera, bagi membolehkan perdana menteri memberikan jawapan secara jujur kepada rakyat Malaysia apakah sebenarnya yang berlaku terhadap 1MDB dan derma RM2.6 bilion,” kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sidang tergempar Parlimen perlu diadakan segera untuk meneruskan perkara dibangkitkan IACC dan mencari jawapan kepada krisis “rasuah” di negara ini.

Beliau berkata, sidang itu juga akan membantu menamatkan “sabotaj terhadap siasatan Parlimen” ke atas kes 1MDB dengan mengisi kekosongan jawatan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan tiga ahlinya, dan menguruskan isu berhubung mendedahkan kepada umum laporan interim Audit Negara atas syarikat itu.

Dr Wan Azizah berkata, PKR berasa gusar apabila Pengerusi Transparency International (TI) Jose Ugaz menggambarkan sumbangan itu sebagai satu kes rasuah dahsyat, yang boleh memberi kesan kepada hak asasi manusia.

Naib Pengerusi TI Elena Panfilova pula menyatakan sokongan badan antarabangsa itu terhadap Bersih 4 yang turun ke jalanan bagi mendesak Najib menjelaskan mengapa dana sebesar itu masuk ke dalam akaun peribadinya.

Manakala Cobus de Swardt daripada Transparency International-Afrika Selatan pula mendakwa Najib tidak boleh berdiam diri jika mahu meyakinkan dunia, terutama pelabur untuk membuat pelaburan di Malaysia.

“Bagi PKR, kenyataan ini senada dengan pendirian kira-kira 500,000 rakyat Malaysia yang turun ke Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas.

“Malah di kalangan ahli komponen Barisan Nasional dan dalam Umno sendiri, begitu sangsi dengan kredibiliti perdana menteri, termasuk dalam isu membabitkan 1MDB dan skandal lain,” katanya.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Najib menerima sumbangan RM2.6 bilion daripada penderma di Timur Tengah untuk tujuan yang tidak ditentukan. – INSIDER