Jelajah Tun M Dan “Selamatkan Malaysia” Bermula

578
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Selepas menandatangi Deklarasi Rakyat bersama-sama pemimpin pembangkang pada 4 Mac lalu dan berkongsi pentas dalam program tertutup Kongres Rakyat 2016 Ahad lalu, semalam untuk pertama kali mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad muncul dalam program terbuka siri jerayawara ‘Selamatkan Malaysia’ di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah.

Mahathir yang kini mengambil tempat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kemuncak acara dan tumpuan utama khalayak yang berjumlah hampir 3,000 orang. Malah Mahathir dilihat tidak kekok berceramah di Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia yang bertemakan slogan, “Reformasi Institusi, Bebaskan Anwar dan Undur Najib”.

Ceramah semalan turun menyaksikan kemunculan bekas Menteri Besar Selangor dan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, selain Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Dato’ Zaid Ibrahim, Dato’ Saifuddin Abdullah, Datuk Paduka Husam Musa, Dr Mohd Hatta Ramli dan Maria Chin Abdullah.

Sebaliknya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang diuar-uarkan bakal berkongsi pentas tidak kelihatan sehingga menimbulkan tanda tanya kerana beliau belum pernah bertemu dengan Mahathir sejak PKR menyatakan komitmen bersama Deklarasi Rakyat.

Mahathir dalam ucapannya sempat mempertahankan diri dalam pentadbirannya selama 22 tahun, “Saya letak jawatan. Saya bukan hendak jawatan untuk diri saya. Kononnya saya diktator. Diktator mana yang pernah letak jawatan? Hitler dia letak jawatankah? Mussolini digantung. Hitler bunuh diri. Stalin matilah. Tetapi letak jawatan tidak juga.”

“Saya letak jawatan untuk memberikan peluang kepada pemimpin-pemimpin lain dengan harapan kerana mereka lebih muda daripada saya, mereka akan lebih cekap untuk membangunkan negara. Malangnya ini tidak berlaku,” luah Mahathir yang terus menyalahkan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahathir sekali lagi mengkritik dana politik RM2.6 bilion yang diterima Najib, “Kalau tidak orang asing, Sarawak Report membuat laporan saya pun tidak tahu. Saya pun dahulu pun dapat duit tetapi saya masukan dalam akaun pemegang amanah UMNO. Sebab itu, selepas saya berhenti saya serah kepada Pak Lah wang tunai sebanyakRM230 juta. Tidak sampailah bilion.”

Mahathir turut menyelar hutang mega kerajaan termasuk dalam syarikat pelaburan kerajaan 1MDB sebanyak RM42 bilion dengan kadar faedah antara RM2.4 bilion dan RM2.7 bilion setahun.

“Saya tidak pernah pinjam sebanyak itu. Dahulu masa saya jadi perdana menteri saya pun hutang juga daripada Jepun. Kadar faedah 0.75 peratus macam dapat duit percumalah. Bodohlah kalau tidak ambil. Bayaran balik (tempoh) selama 40 tahun,” jelas Mahathir dipercayai merujuk kepada pinjaman RM3.37 bilion (107.7 bilion yen) di bawah Tabung Kerjasama Ekonomi Luar Negara (OECF) Jepun pada 1999.

“Tiada jalan lain selain kita turun Najib. Hendak turunkan Najib sepatutnya UMNO yang turunkan…,” tegas Mahathir yang percaya UMNO dan Ahli Parlimen BN sudah tidak mampu menyingkirkan perdana menteri selain daripada deklarasi rakyat.

Ceramah selama 3.40 jam itu yang sebelumnya mendapat hebahan luas melalui 400 kain rentang dan 50,000 risalah dilihat gagal memenuhi kapasiti padang yang boleh menampung seramai 10,000 orang.

Siri jerayawara Mahathir bersama Selamatkan Malaysia akan diteruskan di Gelang Patah, Johor pada 16 April dan Alor Setar pada 7 Mei ini adalah bagi mengumpulkan tandatangan untuk Deklarasi Rakyat untuk mendesak pengunduran perdana menteri.