Jangan Sokong Pemimpin “Keluang Dan Kelawar” – Zahid

281
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Usah menyokong pemimpin ‘keluang dan kelawar’ hanya datang melawat semasa buah-buahan dalam ‘musim berbuah’ dan kemudian menghilang apabila musim itu berakhir.

Itu, ingatan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada pemimpin yang hanya melawat kawasan mereka pada musim pilihanraya, berbeza dengan pemimpin Barisan Nasional yang sentiasa turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak bersikap seperti keluang atau kelawar. Mereka sentiasa turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya semasa merasmikan Pesta Badudun (berkumpul untuk mengeratkan silaturahim, perpaduan dan kerjasama) masyarakat Melayu dan pertandingan lumba kerbau di SK Kampung Gadong, lapor Bernama.

Ahmad Zahid berkata rekod perkhidmatan cemerlang itu telah membolehkan BN terus berkuasa sejak ditubuhkan pada 1974.

“Kini terdapat individu yang mahu menggulingkan atau menukar kerajaan kerana mereka mendakwa sudah terlalu lama berkuasa.

“Tetapi menukar sebuah kerajaan bukan semudah menukar kereta atau baju,” tegasnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mereka yang terlibat termasuk seorang pemimpin kerajaan BN selama dua dekad.

“Beliau seolah-olah lupa yang beliau telah memainkan peranan penting dalam membangunkan dan memajukan negara ke tahap kejayaan sekarang hasil daripada kesinambungan kepimpinan yang berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa di bawah kerajaan BN, peluang saksama diberikan kepada semua untuk memajukan diri dan makmur, dan tumpuan kerajaan tidak hanya pada tempat atau wilayah spesifik di dalam negara.

“Kerajaan akan terus memberi tumpuan bagi pembangunan seimbang di kawasan bandar dan luar bandar. Malah mereka di luar bandar yang cemerlang dalam akademik akan diberikan peluang lebih baik untuk pergi lebih jauh dalam kehidupan mereka,” katanya.

Susulan pilihan raya negeri Sarawak yang ke-11 semakin hampir, Timbalan Perdana Menteri menggesa rakyat terus memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan “pasukan Adenan”.

“Adenan ialah seorang pemimpin yang baik dan sentiasa memperjuangkan isu-isu negeri dan menyuarakan aspirasi dan harapan rakyat kepada pihak kerajaan persekutuan. – FMT