“Jangan Panggil Saya Rasis Kerana Bela Melayu” – Ismail Sabri

84
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak seharusnya dicap sebagai rasis hanya kerana beliau menyuarakan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menegaskan beliau akan terus membela nasib orang Melayu dan Bumiputera tanpa menindas kepentingan kaum lain.

“Mungkin saya dicop rasis tetapi prinsip saya senang…kita bela kaum kita dan jangan tindas kaum lain. Selagi itu dilakukan, bagi saya tidak ada salah dengan apa yang saya lakukan.

“Jika pemimpin Cina mahu bercakap mengenai kaum tersebut, silakan, tiada masalah tetapi bila saya sebut tentang Melayu jangan anggap saya rasis,” katanya mengulas kenyataan anggota jawatankuasa pusat MCA Datuk Lua Choon Hann semalam yang menuduhnya menggunakan isu rokok elektronik atau vape sebagai isu perkauman.
Ismail berkata sebagai rakan komponen Barisan Nasional, MCA sepatutnya memahami tanggungjawab beliau sebagai pemimpin Umno dalam membantu kaum Melayu kerana itu juga dilakukan parti komponen lain untuk kaum mereka.

Katanya Umno tidak ada masalah jika MCA cuba berbuat sesuatu untuk kaum Cina malah adakalanya sedia bekerjasama untuk tujuan itu.

Ismail menggesa Lua berhenti melabelkan dirinya sebagai rasis sebaliknya fokus kepada usaha menarik lebih ramai pengundi Cina menyokong MCA dan BN. – INSIDER