Jangan Masuk Campur Siasatan Kami – SPRM

111
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini memberi amaran kepada sesiapa yang mencampuri siasatan badan anti rasuah persekutuan itu, kerana mereka tidak akan terlepas daripada diadili.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan, sama ada ahli politik, tokoh korporat atau orang biasa, akan dinilai bukan saja oleh mahkamah tetapi masyarakat umum.

“Kepada pihak yang mahu menghalang siasatan dan kes yang dibicarakan, dunia hari ini sudah berbeza. Anda tidak boleh lari daripada sistem keadilan,” kata Abu Kassim dalam teks ucapan yang dibacakan timbalannya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada majlis perasmian Kevin Morais Moot Court di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

“Jangan cuba menghalang, mengganggu dan mengekang proses siasatan dan perbicaraan. Anda boleh memenangi perjuangan anda untuk menyembunyikan bukti daripada mata penguatkuasa undang-undang, tetapi anda tidak boleh bersembunyi di mata orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, seseorang yang melakukan kesalahan hanya boleh lepas daripada diadili untuk tempoh waktu tertentu, tetapi tiada  yang boleh bersembunyi selama-lamanya.

“Mereka boleh mengelak daripada dikesan untuk satu tempoh tertentu – satu bulan, dua  bulan, satu tahun, dua tahun, tetapi tidak selama-lamanya.

“Ingat, siasatan tidak akan berhenti hanya kerana ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti atau melarikan saksi.

“Jika terbukti bersalah, mahkamah adalah tempat pengadilan kelak. Rakyat akan menilai dan menghukum anda.

“Tidak kira anda seorang rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat dan pemimpin politik,” kata Abu Kassim.

Beliau juga mengingatkan mereka yang menerima upah atau wang imbuhan ketika bersubahat dalam sesuatu perbuatan salah, pasti tidak akan berasa tenang.

“Kepada yang menjadi macai atau mereka yang bersubahat, cuba menggagalkan siasatan atau perbicaraan kes rasuah. Ingatlah apa juga upah atau imbuhan yang diperoleh, tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan,” katanya.

Katanya, sekiranya perkara sedemikian terjadi, pihak atau individu yang terlibat itu akan akhirnya sedar yang tindakan mereka itu langsung tidak bernilai jika dibandingkan dengan maruah diri yang hilang.

“Perbuatan keji yang dilakukan akan mengganggu kehidupan kita sehingga akhir hayat. Jika perbuatan tersebut terbongkar, kamu akan dihina dan dikeji masyarakat,” katanya.

Ketika Shukri membacakan ucapan menyentuh mengenai Timbalan Pendakwa Raya Kevin Anthony Morais yang mati dibunuh, beliau sebak dan mengalirkan air mata mengenangkan komitmen dan dedikasi tinggi diperlihatkan mendiang.

“Tuan Kevin, kehilangan tuan menjadi peniup semangat untuk kami mempertahankan kedaulatan undang-undang negara ini.

“Kami yang masih hidup ini berjanji, pengorbanan tuan menjadi kekuatan untuk memerangi rasuah tanpa kira besar atau kecil. Tiada siapa yang kebal daripada tindakan undang-undang walau setinggi mana kedudukan mereka,” katanya.

Kevin dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi 4 September. Mayatnya ditemui dalam tong dram berisi simen di Subang Jaya pada 16 September.

Mahkamah moot di akademi itu dinamakan semula hari ini sebagai penghormatan kepada beliau yang pernah berkhidmat selama 10 tahun di SPRM, dipinjamkan daripada Jabatan Peguam Negara.

Tiga adik-beradiknya – Charles Suresh, David Ramesh dan Datuk Richard Dilaan – turut hadir pada majlis hari ini. – INSIDER