Jangan Kempen Isu GST Untuk Jatuhkan Kerajaan – Kastam

11
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jangan guna isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai bahan kempen untuk menjatuhkan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang, kata ketua kastam.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Subromaniam Tholasy mengingatkan ahli-ahli politik yang GST terbukti memberi kesan positif kepada ekonomi terutama dari segi daya saing Malaysia, telah dilaksanakan di beberapa negara.

“Setakat ini, tidak ada mana-mana negara yang kembali kepada sistem percukaian asal selepas melaksanakan GST.

“Jadi, usahlah rakyat terperdaya dengan cerita-cerita karut kononnya ia boleh diganti dan sebagainya. Ia sangat mustahil dilakukan,” katanya, seperti dipetik oleh Bernama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan pejabat GST Kota Tinggi yang dibuka bagi memberi kemudahan kepada lebih 4,000 syarikat yang berdaftar dalam sistem cukai terbabit.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hujung minggu lalu mengumumkan janji Pakatan Harapan mahu menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari pertama selepas menjadi kerajaan di Putrajaya sekiranya gabungan pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Sementara itu, Subromaniam berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komkunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap penyebar fitnah dan berita palsu mengenai GST.

Katanya, langkah itu bagi membendung pelbagai tohmahan dan fitnah yang dilontarkan sesetengah pihak terhadap GST sejak kebelakangan ini.

“Saya sedih apabila kadang-kadang dapat WhatsApp daripada kawan-kawan, kita baca dan tahu berita tidak betul.

“Generasi muda pula mudah percaya. Jadi, memang patutlah ada pihak siasat dan saya rasa janganlah anggap semua rakyat bodoh.

“Memang ada sebahagian yang percaya tetapi kita boleh mengambil tindakan ‘pembetulan’,” katanya kepada media, seperti dipetik oleh Bernama.

SHARE
Previous articleRafizi Persoal Najib Abaikan Isu Rohingya Ketika Bertemu Trump
Next articleLawatan Najib Ke AS Bongkar Pembohongan Tun M