Jangan Guna Psikologi Terhadap Saya – Peguam Negara Kepada Tun M

223
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mengketepikan siasatan derma RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sambil berikrar akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dalam kes tersebut, beliau meminta bekas perdana menteri itu supaya tidak menggunakan psikologi ke atasnya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Apandi berkata beliau akan bertindak dengan adil dan teliti.

“Saya akan kaji (kes) mengikut undang-undang,.

“Tanya dialah, bagaimana beliau buat rumusan itu?” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir yang meramalkan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu SRC International dan derma RM2.6 bilion ringgit akan ditolak.

Mahathir juga dilaporkan berkata beliau membuat andaian itu berdasarkan tindakan AG sebelum ini yang menolak laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai 1MDB secara bulat-bulat.

Apandi turut menafikan spekulasi bahawa beliau dilantik bagi melindungi Najib daripada tindakan undang-undang dan menuduh Mahathir cuba untuk memberi tekanan kepadanya.

“Beliau hanya cuba untuk memberikan tekanan kepada saya. Saya tidak bekerja di bawah tekanan. Sama seperti mana-mana hakim, kami tidak bekerja di bawah tekanan.

“Beliau hanya cuba untuk menggunakan psikologi ke atas saya,” katanya sambil menambah bahawa bekas perdana menteri itu perlu berhenti mencari jalan keluar dengan taktik itu.

“Saya tahu undang-undang. Beritahu seluruh dunia bahawa saya seorang faham undang-undang. Saya membuat keputusan mengikut undang-undang. Tiada siapa yang boleh beri tekanan kepada saya,” tegasnya.

Apandi dilantik sebagai AG selepas Tan Sri Abdul Gani Patail secara tiba-tiba dilucutkan jawatannya atas sebab-sebab kesihatan pada tahun lalu.

Tindakan itu mencetuskan spekulasi bahawa Gani sedang dalam usaha menyeret Najib ke mahkamah tetapi dinafikan oleh pihak berkuasa.

Najib juga memecat timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang menteri kabinet, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana lantang mengkritik 1MDB.