Jangan Guna Nama Tuhan Untuk Politik – Mujahid

24
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Amanah Mujahid Yusof Rawa memberi amaran kepada ahli politik Barisan Nasional agar tidak menggunakan Tuhan untuk meraih manfaat politik daripada bencana banjir di Pulau Pinang.

Mujahid mengulas kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini di mana timbalan perdana menteri itu berkata banjir minggu lalu di Pulau Pinang petunjuk dari Tuhan ini ketika terbaik untuk Gerakan menawan kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan.

“Bermain dengan nama Tuhan bukan sikap yang baik untuk seorang Islam dan Zahid harus minta maaf. Sekarang bukan masa menggunakan bencana untuk meraih manfaat politik,” katanya kepada FMT, sambil mengedarkan tilam kepada mangsa banjir di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Dalam ucapan di persidangan tahunan perwakilan Gerakan ke-46 di ibu pejabat Gerakan di Cheras hari ini, Zahid berkata: “Apa yang berlaku adalah sesuatu yang Tuhan menunjukkan ini ketika yang terbaik untuk kita mengambil balik semula kerajaan Pulau Pinang.”

Lebih separuh Pulau Pinang ditenggelami air banjir selepas hujan turun selama berjam-jam dan meragut 7 nyawa minggu lalu. Lebih 6,000 orang dipindahkan dari rumah masing-masing.

Gerakan menerajui kerajaan negeri dari 1969 hingga 2008, sebelum tewas di tangan pembangkang. Tan Sri Koh Tsu Koon ketua menteri terakhir daripada BN.

Minggu lepas, Mujahid mengkritik Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon kerana menyindir ketua menteri gagal menangani masalah banjir di Pulau Pinang.

Mujahid berkata bencana itu sebaliknya “petunjuk” rakyat dan kerajaan harus lebih berhati-hati dengan projek pembangunan dan menjaga alam sekitar.

Sementara itu, Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin menyifatkan kenyataan Zahid itu sebagai “gimik murahan”.

“Kalau begitu, bagaimana pula dengan banjir di negeri yang diperintah BN. Adakah itu petunjuk kepada pembangkang untuk menawan negeri mereka?”

Afif berkata Zahid sepatutnya menyelesaikan masalah yang dihadapi Jabatan Kemajuan Masyarakat dalam membantu mangsa banjir.

“Pegawai beritahu saya mereka tidak menerima peruntukan dan barangan secukupnya untuk membantu mangsa. Mengapa JKM tidak bersedia semasa musim hujan November dan Disember?”

Adun Seberang Jaya juga menunjukkan NGO Kelab Putera 1Malaysia sebaliknya mampu memberikan bantuan. Beliau tertanya sama ada NGO itu menerima dana daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata politik harus diketepikan semasa bencana.

“Cukuplah apa yang dialami rakyat Pulau Pinang semasa banjir,” katanya, dan menambah keutamaan sekarang ialah membantu membina semua rumah mereka.