Jangan Gadai Prinsip Pada Ahli Politik – Azmin

69
0
SHARE

SHAH ALAM: Penjawat awam digesa untuk setia kepada sultan, bukan kepada ahli politik bagi menjamin perkhidmatan lebih beretika, bersih dan bertanggungjawab.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berkata, bagi mencapai tahap perkhidmatan awam yang berwibawa, kakitangan kerajaan tidak seharusnya menggadai prinsip mereka kepada ahli politik.

Jelasnya lagi, ahli politik datang dan pergi bergantung kepada pilihan raya, namun penjawat awam akan sentiasa berkhidmat bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negeri Selangor.

“Saya hendak mengajak seluruh ahli perkhidmatan awam Selangor supaya berpegang kepada piagam perkhidmatan awam yang cukup jelas.

“Ahli perkhidmatan awam tidak perlu setia kepada politik dan parti politik, harus berpegang kepada piagam dan hanya setia kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan negara serta negeri berkenaan,” katanya.

Azmin berkata demikian dalam perhimpunan bulanan kakitangan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR turut menegaskan anggota perkhidmatan awam tidak menggadai etika pekerjaan ke tangan penguasa bagi menjamin perkhidmatan yang benar-benar berwibawa.

“Jangan sama sekali menggadai prinsip dan etika yang murni ini di tangan penguasa, apatah lagi mereka yang cuba mempertahankan kedudukan.

“Kalau ini berlaku, kita tidak dapat menjamin satu perkhidmatan awam yang benar-benar berwibawa,” katanya. – MK