Jangan Cemuh Schooling – Khairy

18
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diminta tidak mengejek perenang sensasi Singapura, Joseph Schooling apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio itu bertanding pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penting untuk semua pihak kekal positif mengenai penyertaan perenang itu dan tidak menimbulkan sebarang tindakan negatif yang boleh menjejaskan reputasi negara sebagai tuan rumah.

“Jangan nak memanjangkan perkara ini, ia penting untuk kita ingat yang emak Joseph Schooling adalah rakyat Malaysia,” kata Khairy selepas majlis pelancaran Pusat Media Utama dan Pusat Penyiaran Antarabangsa di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

“Saya tak rasa dia berniat buruk dalam kenyataannya, dengan Presiden MOM (Majlis Olimpik Malaysia), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar berkata temasya ini bagi meraikan atlet Asia Tenggara dan saya tak mahu sebarang unsur negatif datang dari negara tuan rumah.

“Jangan ada ejekan kerana itu bukanlah tentang Sukan SEA. Tekanan pasti tinggi, beri sorakan pada pasukan anda tetapi jangan mengejek orang lain,” katanya.

Schooling sebelum ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia apabila berkata: “Saya rasa elok jika saya pergi ke Malaysia dan mengajar mereka satu atau dua perkara” katanya.

Dia berkata demikian dalam satu temuramah di saluran televisyen Singapura, Channel NewsAsia pada 1 Ogos lalu.

Schooling kemudiannya menafikan kenyataan itu dan mengatakan kenyataannya diputar belit.

Sementara itu, Tunku Imran yang juga Presiden Persekutuan Sukan SEA (SGF) berkata, penting bagi rakyat Malaysia memberikan penghormatan kepada perenang itu.

“Saya berada di Anugerah Sukan Singapura pada Selasa lalu dan berbual panjang dengan Joseph. Dia seorang yang baik dan tidak sombong. Dia sangat kecewa kenyataannya diputar belit,” kata Tunku Imran.

“Saya rasa penting untuk kita memberikan penghormatan kepadanya sebagai ikon (sukan) di Asia Tenggara.

“Dia adalah satu-satunya pemenang pingat emas Olimpik dari Asia Tenggara buat masa ini dan ia sesuatu yang perlu dibanggakan,” katanya.