Jangan Biarkan TPP Menjejaskan Masa Depan Malaysia

594
0
SHARE
Oleh: Joseph Stiglitz & Adam Hersh

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak kini menghadapi peluang terakhir untuk menukar arah perjalanan rundingan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP, perjanjian ekonomi antarabangsa baharu yang akan mewujudkan hubungan perdagangan antarabangsa yang tidak sama rata (unequal) di antara negara ekonomi maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Australia dengan negara ekonomi membangun seperti Malaysia.

Perunding TPP kini berada dalam fasa yang mereka harapkan adalah pusingan terakhir untuk memuktamadkan perjanjian.

Pemimpin politik akan menyatakan dengan bangga mereka berunding untuk kepentingan rakyat dan negara.

Tetapi realitinya adalah keistimewaan kepentingan korporat – di Amerika Syarikat (AS) dan di tempat lain – banyak mempengaruhi perundingan.

Tidak seperti perjanjian yang sebelumnya, TPP melangkaui banyak batasan di mana ia bukan saja tertumpu terhadap pengurangan tarif dan kuota tetapi juga menghendaki perubahan dasar (fundamental changes) dalam institusi undang-undang, kehakiman dan kawalselia negara – satu konsesi kepada kumpulan pelobi berwang (moneyed lobbyists) yang diberi akses yang luas berbanding rakyat prihatin dan penggubal undang-undang untuk terlibat di dalam proses perundingan.

Berlandaskan apa yang diketahui dari perjanjian perdagangan lepas yang diketuai AS, dan apa yang kita perolehi dari dokumen perundingan yang dibocorkan, adalah jelas perunding Malaysia banyak mengalah kepada kepentingan perniagaan negara maju.

Tidak begitu jelas apakah motif mereka bertindak sedemikian memandangkan Malaysia akan menghadapi kerugian dari perjanjian yang sebegini.

Biasanya, perundingan dilihat sebagai suatu proses di mana satu pihak memberikan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lain sebagai balasan.

Tetapi dengan TPP, tidak jelas apa akan diperolehi oleh Malaysia. Ahli ekonomi di Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan, UNCTAD, meramalkan Malaysia akan menjadi “net trade loser” setelah menyertai TPP, di mana perbezaan nilai eskort berbanding import, iaitu imbangan perdagangannya, akan merosot US$17 bilion (RM75 bilion) setiap tahun.TPPA2

Dalam erti kata yang lain, berdasarkan perkiraan ekonomi yang jelas dan mudah, Malaysia akan menjadi lebih teruk dengan TPP.

Perjanjian seperti ini bukanlah perdagangan bebas tetapi sebenarnya perdagangan yang diuruskan (managed trade agreements) dan lazimnya dikendalikan untuk kepentingan korporat. Dan, walaupun nama Trans-Pasifik mencadangkan “perkongsian”, ia lebih menjurus kepada sejenis perkongsian khas, di mana satu negara, AS, yang dapat menentukan sebahagian besar agenda dan hanya memberikan “rakan-rakan” lain keperluan yang minima untuk mendapatkan persetujuan bagi pihak korporat dan lain-lain kepentingan khas.

Tetapi Malaysia menonjol sebagai salah satu negara di mana kepentingan ekonomi negara akan mengalami kerugian dan sektor yang akan terjejas termasuklah besi dan keluli, aluminium, bahan api galian (mineral fuels), plastik dan getah. Pada waktu sama di mana pengeluar produk pertanian di Malaysia menghadapi persaingan import yang lebih besar, sektor perindustrian dan pelaburan juga akan mengalami kejutan pekerjaan.

Walaupun impak kepada industri Malaysia tampak negatif, namun bahaya TPP lebih meluas. Terdapat pelbagai ciri lain menunjukkan perjanjian ini akan mendatangkan keburukan yang lebih besar daripada dijangka.

Pertama, TPP akan menyekat kerajaan – termasuk negara anggota seperti Malaysia daripada meluluskan peraturan atau undang-undang untuk melindungi kesihatan dan keselamatan awam serta alam sekitar, atau mana-mana aspek lain bagi kebaikan awam.

Ini kerana TPP mengandungi mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang akan membenarkan warga asing menyaman kerajaan apabila mereka berpendapat peraturan tersebut akan menjejaskan keuntungan mereka. Timbang tara ini akan menjadi “private” dan mengikat, walaupun keputusan itu bercanggah dengan undang-undang domestik.

Syarikat itu boleh dibayar bagi kehilangan keuntungan yang diharapkan, bukan saja untuk pelaburan masa lalu, walaupun keuntungan dijana dengan menjual produk yang membunuh manusia dan juga jika tiada diskriminasi yang termaktub dalam peraturan.

Kepentingan korporat antarabangsa mengangkat ISDS sebagai suatu mekanisme perlindungan pelaburan; tetapi ini karut semata-mata. Mereka menuntut peruntukan yang sama dari negara-negara Eropah yang mempunyai sistem perundangan yang sama tahapnya dengan Amerika Syarikat daripada segi hak harta (property rights). Realitinya, ia cara yang tidak ikhlas (backhanded) untuk melemahkan keupayaan negara untuk tersebut untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyatnya serta alam sekitar dan juga ekonomi.

Ancaman ini bukanlah andaian semata-mata (hypothetical threats) kerana sudah ada perjanjian pelaburan yang serupa membawa kepada saman seperti yang disebutkan di atas. Peru, rakan perunding TPP, sedang menghadapi kes saman berjumlah US$800 juta yang dituntut oleh pelabur dari Amerika Syarikat iaitu Renco yang mahu terus menjalankan operasi “lead smelting” di sebuah lokasi yang dikatakan salah satu daripada 10 tempat paling tercemar di dunia.

Renco juga mahu mengelak daripada membayar pampasan kepada mangsa pencemaran dan memulihkan lokasi yang tercemar itu. Dalam satu lagi kes, Australia di saman kerana mengarahkan penggunaan label amaran kesihatan pada kotak rokok yang bertujuan mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyatnya, seperti juga Uruguay (yang bukan rakan perunding TPP).

Kanada pula terpaksa melupakan niat untuk melaksanakan peraturan yang sama apabila ia menghadapi ancaman akan disaman. Mexico pula dipaksa membayar US$15 juta setelah penimbang tara (arbitrators) mendapati terdapat kesilapan dalam keputusan kerajaannya menutup sebuah tempat pembuangan sisa toksik yang didapati mengakibatkan kebocoran sisa toksik ke dalam air bawah tanah.

Mekanisme ISDS yang sedia ada memang sudah cukup buruk. Jika mekanisme ini dikembangkan secara radikal di bawah TPP, keadaan akan menjadi lebih teruk lagi.

Kedua, TPP secara efektifnya akan mengharamkan usaha negara untuk melindungi diri mereka daripada spekulator kewangan antarabangsa, yang menyuntik wang ke dalam ekonomi tempatan apabila mata wang sedang panas dan mengeluarkannya apabila keadaan menjadi sebaliknya.

Sepertimana yang Malaysia sedia maklum dan yang dialami semasa Krisis Kewangan 1997 – 98, aliran modal jangka pendek yang tidak terkawal boleh menyebabkan ketidakstabilan dan menggalakkan krisis. Pada waktu itu, Malaysia menggunakan kawalan modal untuk melindungi rakyatnya daripada kesan buruk krisis tersebut. Hasilnya kelembapan (downturn) yang lebih pendek dan cetek jika dibandingkan dengan negara lain, dengan legasi bebanan hutang yang kecil yang boleh memberi impak kepada pertumbuhan masa hadapan.

Kebanyakan ahli ekonomi menyedari kawalan modal adalah satu alat penting bagi pengawalseliaan kewangan (financial regulation); Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengakui kepentingannya walaupun pada satu ketika badan itu sering berkempen menentangnya. Setelah krisis itu berlalu, Malaysia tidak lagi menggunakan kawalan modal, tetapi adalah lebih baik ia diperkenalkan semula jika ia menghadapi satu lagi krisis seperti yang dulu. Bagaimanapun, TPP akan secara efektifnya, menghalang Malaysia daripada memilih untuk melaksanakan kawalan modal, dan seterusnya boleh mengakibatkan negara ini dikawal oleh IMF dan mengakibatkan kehilangan kedaulatan ataupun memaksanya untuk menghadapi pilihan yang lebih buruk lagi.

TPP3Ketiga, TPP akan menyebabkan terkuncinya kelebihan tidak sama rata ekonomi dengan menaikkan kadar perlindungan harta intelek (IP) di mana keuntungan pemilik IP akan bertambah dengan mengorbankan orang lain. Impak ini sangat jelas jika kita mengambil kira betapa ketatnya peraturan IP bagi ubat-ubatan yang boleh menyelamatkan nyawa.

Dengan dorongan pelobi “Big Pharma”, perunding AS sedang memaksa negara-negara TPP untuk menerima perlindungan yang dikatakan akan meningkatkan keuntungan, bukan penghasilan ubat-ubatan baru tetapi dari menyekat bakal pesaing memasuki pasaran dan mengenakan harga yang tinggi yang perlu ditanggung oleh pengguna.

Ini dilakukannya melalui pelbagai perubahan terhadap peraturan atau undang-undang yang menggunakan istilah yang sukar difahami seperti “patent linkage” dan “biologics” (hubungan paten dan biologik) yang secara kolektifnya akan memberikan ruang bagi syarikat farmaseutikal untuk melanjutkan monopoli mereka untuk sekian tahun atau seberapa lama yang boleh. Mylan, pengeluar ubat generik yang terkemuka menyatakan TPP boleh mengakibatkan perniagaan mereka ditutup di negara-negara yang terlibat. Ini bermaksud rakyat Malaysia terpaksa membayar lebih untuk ubat-ubatan, dan juga ada ubat-ubatan yang tidak boleh didapati dengan mudah di Malaysia.

Jika dilakukan dengan betul, integrasi perdagangan dan pelaburan dengan seluruh dunia akan menjanjikan kebaikan atau keuntungan yang besar bagi Malaysia, namun TPP bukanlah cara untuk mendapatkannya. Tiada bukti bahawa peruntukan yang terkandung di dalam TPP akan membawa ke arah itu. Apa yang akan berlaku ialah lebih banyak wang upah atau gaji rakyat Malaysia yang bekerja keras akan disalurkan ke dalam poket syarikat antarabangsa.

Jika benar perdana menteri benar-benar percaya rakyat Malaysia perlu didahulukan, beliau akan mengarahkan perunding di Atlanta untuk (a) memastikan sekurang-kurangnya Malaysia akan mendapat keuntungan ekonomi daripada perjanjian ini; (b) memastikan rakyatnya memperoleh akses kepada ubat-ubatan generik dengan harga yang berpatutan dan (c) TPP memberi ruang bagi Malaysia untuk menentukan masa depan ekonominya sendiri, dan bukan di bawah telunjuk pelabur antarabangsa.

Secara dasarnya, TPP mestilah memberi ruang bagi keperluan pembangunan Malaysia. Perunding Malaysia memang mempunyai tugas yang sukar kerana, buat masa sekarang, TPP direka untuk membawa kepada kemunduran dan menghalang negara perkongsian menggunakan beberapa alat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan ekonominya. – INSIDER

* Joseph Stiglitz, pemenang Anugerah Nobel dalam bidang ekonomi, adalah ‘University Professor’ di Universiti Columbia dan ketua ekonomi di Institut Roosevelt. Stiglitz adalah mantan Ketua Ekonomi di World Bank dan kini adalah di antara pakar ekonomi yang paling berpengaruh di dunia. Adam Hersh adalah ekonomi kanan di Institut Roosevelt dan ‘visiting scholar’ di Inisiatif Universiti Columbia untuk Dialog Polisi.