Jamil Khir Didakwa Salah Guna Wang YaPEIM

327
0
SHARE

KUALA LUMPUR: National Oversight and Whistleblowers (NOW) mendedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggunakan RM410,978.56 wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Pengarahnya, Akmal Nasir berkata, Jamil dan isterinya telah menggunakan wang anak yatim dan miskin untuk membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli-belah.

“Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama isteri Datin Seri Fatmawati Saidin dan seorang lagi individu bernama Cik Biby Haslinda telah mengikuti rombongan ke Amerika Syarikat pada 21 Mei 2014 sehingga 29 Mei 2014,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat NOW, pada Jumaat.

Jelasnya, Jamil Khir dan isterinya serta rombongan telah melawat bandar Washington DC, Minnesota dan Iowa.

“Dikatakan perjalanan itu untuk tujuan ‘Pemantapan dan Pemerkasaan Kelab Santun YaPEIM, tetapi perbelanjaan yang dibayar YaPEIM adalah bersifat bersuka-ria dan langsung tiada unsur amal jariah,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Akmal menyatakan beliau yakin pendedahan ini menjangkau imiginasi rakyat Malaysia dan tindakan Jamil telah melangkaui batas serta mengkhianati agama, bangsa dan negara.

“Bagaimana yayasan berkaitan Islam yang terletak di bawah Perdana Menteri boleh disalah gunakan untuk aktiviti-aktiviti menteri,” katanya.

Justeru, Akmal menggesa jika Jamil Khir masih mempunyai maruah, beliau sewajarnya meletak jawatan dengan serta-merta dan tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

“NOW juga menggesa Jamil Khir dan pemimpin wanita UMNO Kelantan, serta keluarganya dan presiden yayasan itu memulangkan kembali setiap sen yang diambil daripada YaPEIM termasuk gaji, elaun dan juga perbelanjaan ke luar negara.

“Kita doakan agar mereka akur dengan kesilapan mereka dan berharap YaPEIM dirombak agar setiap wang yang diagihkan kepada mereka yang benar-benar susah dan turut melaporkan kemajuan agihan secara berkala dan terbuka,” ujarnya lagi.

Antara bayaran yang dibuat oleh YaPEIM adalah sebanyak RM274,493.10 untuk kos penerbangan pergi dan balik Jamil Khir dan isterinya ke Amerika Syarikat

Selain, majlis keraian menteri termasuk bermain golf berjumlah RM1,658.96 dan sebanyak RM3,200.72 digunakan untuk cenderahati menteri. – FMT

SHARE
Previous articleAnwar Nafi Terima RM60 Juta Wang Syarikat Judi
Next articleIsu “Vape”: SAMM Desak KKM Mohon Maaf