Jamal Yunos Dalam Senarai 7 Pemimpin Yang Dipantau UMNO

73
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunos dikatakan termasuk dalam senarai tujuh pemimpin Umno yang bakal berdepan kemungkinan digantung parti.

Laporan The Malaysian Insider hari ini yang memetik sumber sebagai berkata, jurucakap utama perhimpunan baju merah itu menyertai enam yang lain iaitu bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal; bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin; bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Menurut laporan portal berita itu, sumber parti turut mendedahkan, pejabat setiausaha agung parti Melayu itu kini sedang meneliti kesalahan didakwa dilakukan ahli parti tersebut yang sebelum ini dikatakan membuat kenyataan “tidak masuk akal”.

The Malaysian Insider bagaimanapun turut difahamkan, pegawai undang-undang yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kes itu menarik diri susulan kesukaran mensabitkan kesalahan terhadap mereka.

“Peguam pun tarik diri, tidak tahu nak sabitkan di bawah kesalahan mana,” menurut laporan itu lagi.

Katanya, sumber berkata, Umno turut terdesak untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin sebelum bermulanya perhimpunan agung pada Disember depan, bagi mengelakkan beliau merasmikan perhimpunan sayap parti.

Bagaimanapun, kata sumber terbabit, parti itu juga difahamkan belum memutuskan pengganti Muhyiddin untuk merasmikan perhimpunan sayap.

“Kalau ada peluang mungkin Muhyiddin hanya memberikan ucapan sewaktu penggulungan di akhir perhimpunan agung,” kata sumber kepada portal berita berkenaan.

The Malaysian Insider melaporkan, menurut konvensyen dalam Umno, presiden akan menyampaikan ucapan dan perwakilan akan membahaskan ucapan dasar presiden itu.

Manakala, Timbalan Presiden Umno akan memberikan ucapan perasmian sayap Pemuda, Puteri, dan Wanita Umno, sehari sebelum perhimpunan agung bermula. – NMP