‘Jalan Mati’ Menang Festival Teater Selangor

600
0
SHARE

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Naskhah Jalan Mati karya Leigh Whannell yang pernah diangkat ke layar perak melalui filem Saw nyata membawa tuah kepada kumpulan Seni Ceritera yang muncul johan dalam Festival Teater Negeri Selangor malam tadi dengan membawa pulang hadiah wnag tunai RM3,000 dan piala iringan.

Naskhah psiko-seram terjemahan Roydy Anuar berjaya diangkat oleh pengarahnya Khusiary Mahayuddin yang kemudian muncul sebagai Pengarah Terbaik bersama-sama dengan pelakon Azerai Azmi dan Zakri Rozaini yang dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Naib johan pula dimenangi oleh Pertubuhan Batek Selangor yang membawakan naskhah Neraca sementara teater Bilik Akhir oleh Akses UiTM, Cinta Seorang Pencuri oleh Kelab Teater Rimba, UKM dan Kubur oleh Anomalist UiTM masing-maisng mendapat tempat ketiga, keempat dan kelima.

Hadiah-hadiah utama disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara Selangor, Mesran Mohd Yusof yang turut merasmikan sayembara teater yang dihadiri oleh hampir 200 orang.

Festival Teater Negeri Selangor 2015 yang berlangsung dari 6 hingga 15 November 2015 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) menyaksikan penyertaan sengit daripada 10 kumpulan teater tempatan dan pemenang bakal mewakili negeri Selangor ke Festival Teater Malaysia 2015.