JAKIM Terima Kritikan Perbaiki Kelemahan, Bukan Pandangan Ekstrem – Asyraf Wajdi

57
0
SHARE

Foto: Shaiful Nizam

BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengalu-alukan kritikan bersifat membina tetapi bukan pandangan ekstrem yang mahukan institusi itu dilenyapkan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata Jakim telah menyumbang kepada perkembangan Islam yang positif di negara ini namun tidak menafikan institusi itu perlu menerima kritikan untuk memperbaiki kelemahan bagi meningkatkan perkhidmatannya kepada masyarakat.

“Kita tak pernah bersifat defensif apabila dikritik, tetapi bagi saya pandangan supaya memansuhkan (Jakim) agak ekstrem dan kalau benar apa yang dilaporkan, seolah-olah nak kembalikan Malaysia ke zaman Jahiliyyah dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik kenyataan anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfiq Tun Ismail, yang mahu Jakim dimansuhkan kerana dilihat seolah-olah mencampuri kehidupan peribadi rakyat negara ini.

Asyraf Wajdi ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Komuniti Asean bertemakan Ketamadunan Islam dalam Komuniti Asean: Cabaran dan Harapan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini, Rabu.

Asyraf Wajdi berkata, isu itu tidak perlu dipanjangkan kerana ia tidak mewakili suara majoriti sebaliknya hanya pandangan sebilangan individu yang tidak memahami kerangka sejarah perkembangan Islam di negara ini.

“Saya rasa dalam suasana hari ini masyarakat Islam sudah mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap agama. Kita tidak boleh kembali kepada zaman di mana kita boleh sewenang-wenangnya berfoya-foya dengan perkara yang jelas diharamkan dalam Islam,” tambahnya.

Beliau sebelum ini turut dilaporkan sebagai berkata bahawa tanggungjawab Jakim bukan sekadar melindungi kesucian agama Islam, malah melibatkan isu global termasuk isu Syiah dan kumpulan militan IS.

Asyraf Wajdi berkata untuk itu kewujudan Jakim tidak sepatutnya dipersoalkan lagi kerana ia berperanan menyelaras hal ehwal agama Islam dan berfungsi sebagai benteng bagi menangani sebarang agenda menggugat kedudukan Islam di negara ini.

SHARE
Previous article“Saya Dah Beritahu Najib, Beri Keterangan Saya Dah Beritau SPRM, Segerakan Siasatan” – Apandi
Next articleSelangor Tambah Anggota Cegah Kes Curi Pasir