JAKIM Pantau “Ustaz” Youtube

180
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk bersama usaha membanteras penularan penceramah tanpa tauliah yang menyebarkan pemikiran yang tidak selari dengan aliran akidah Ahlusunnah Wal Jamaah di laman perkongsian video Youtube dan laman sosial.

Sementara itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata para penceramah di media baru dan media elektronik akan terus dipantau dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Jakim telah maklum berkaitan isu ini dan sekiranya terdapat perkara-perkara yang bercanggah dengan undang-undang negara, Jakim akan bekerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri serta pihak-pihak berkuasa lain bagi mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata Othman.

Jakim berkata pemantauan berterusan adalah perlu memandangkan maklumat berkaitan Islam semakin mudah diperolehi samada dalam bentuk tulisan, gambar atau video dalam dunia teknologi maklumat pada hari ini.