Jadikan AP Pemangkin Kembangkan Perniagaan Bumiputra – Najib

95
0
SHARE

Oleh: Khizairi Khizan

Foto: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap syarikat bumiputera bijak menggunakan permit import (AP) yang diberikan.

Kata beliau, AP diberi kepada syarikat bumiputera dengan tujuan mereka menceburi dan mengembangkan perniagaan dalam bidang lain.

“Bila bagi AP ke syarikat bumiputera, kita hendak mereka gunakannya untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam bidang-bidang lain,” katanya pada majlis pelancaran Naza Tower, petang tadi.

Mengambil contoh syarikat kumpulan Naza, Najib berkata, tidak banyak syarikat Bumiputera yang diberikan AP mampu mencontohi syarikat yang diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin itu yang kini berkembang pesat bukan sahaja dalam bidang automotif, tetapi juga sektor hartanah, makanan dan minuman (F&B), termasuk telekomunikasi

Terdahulu, Naza Tower kini menjadi antara mercu tanda baru di ibu kota selain menjadi lambang kejayaan Kumpulan Naza sebagai sebuah konglomerat bumiputera ulung.

Menara setinggi 50 tingkat yang dibangunkan di tapak seluas 3.64 hektar berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC) itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan bersepadu Naza di Platinium Park yang menelan kos keseluruhan RM4 bilion.

“Menara ini merupakan satu pembangunan bersifat ikonik untuk Kuala Lumpur dan sekali gus pengiktirafan bagaimana Naza Group sejak ditubuhkan 40 tahun lalu muncul sebagai sebuah konglomerat Bumiputera yang kita boleh banggakan.

“Saya ucap tahniah setinggi-tingginya kepada Naza. Bukan mudah mencapai kejayaan, saya ada beberapa sebab mengapa saya boleh berkata demikian, kerana pertama dalam konteks kejayaan syarikat Bumiputera, Naza boleh dianggap antara syarikat konglomerat Bumiputera paling berjaya.

“Kedua, kejayaan ini merentasi dua generasi, dari pengasas (Allahyarham) SM Nasimuddin, kepada anak-anaknya.

“Kita dapat melihat perjalanan merentasi dua generasi dan dapat kekal dan terus berkembang maju ke hadapan. Ada syarikat tidak mampu bertahan melebihi zaman pengasasnya,” kata Najib.