Isu “Vape” Yang Memeningkan Rakyat

146
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengharamkan rokok elektronik dan vape seperti mana pengharaman shisha sebelum ini selepas mengambil kira faktor kesihatan dan pembaziran.

Dalam Islam, apabila sesuatu perkara itu hukumnya haram, bermakna berdosa besar jika orang Islam masih melakukannya walaupun mengetahuinya seperti kesalahan kerana tidak solat, tidak puasa ataupun mencuri.

Selepas Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa itu Jumaat lalu, adakah pengguna vape dalam kalangan orang Islam meninggalkan perbuatan itu? Penulis percaya ramai yang tidak peduli seperti mana fatwa haramnya menghisap rokok dan shisha yang telah lama dikeluarkan.

Ini berlaku kerana kerajaan Pusat sendiripun tidak menghalang penjualan vape. Pendek kata, vape masih boleh diniagakan dan digunakan sebebasnya. Sama seperti isu rokok cuma kerajaan mengenakan peraturan seperti rokok tidak dijual kepada mereka yang 18 tahun ke bawah  dan rak mempamerkan pelbagai jenama rokok mesti tertutup.

Namun, adakah peraturan-peraturan ini dipatuhi? Sukar untuk menjawabnya. Tepuk dada tanya selera.

Dalam isu vape ini, Kementerian Kesihatan Malaysia dikatakan pernah cuba mengharamkannya tetapi Kabinet membatalkan arahan itu dengan alasan mahu menjaga usahawan Melayu yang terlibat dalam industri vape.

Alasan itu sebenarnya lebih kepada politik. Sepatutnya kerajaan memikirkan rakyat secara keseluruhan. rKalau perniagaan itu mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan, keputusan perlu melangkaui kaum.

Kebanyakan peniaga-peniaga vape adalah  anak-anak muda Melayu tetapi sebahagian besar pengedar dan pembekal adalah bukan Melayu. Jadi alasan Kabinet itu boleh dipersoalkan.

Walaupun bercanggah dengan arahan Kabinet, Kementerian Kesihatan tetap mengambil tegas dengan merampas cecair vape yang mengandungi nikotin dan berperisa ganja mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983.

Ketegasan Kementerian Kesihatan itu menyebabkan Menterinya, Datuk Seri Dr. S Subramaniam dituduh tunduk dan telah dibeli oleh syarikat-syarikat pengeluar rokok.

Budaya vaping dikatakan telah menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat pengeluar rokok dan dalam masa yang sama syarikat terlibat perlu membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan.

Dalam hal ini, kita lihat ‘nada berbeza’ antara Kabinet dan Kementerian Kesihatan. Kita sebagai rakyat jelata jadi pening. Apatah lagi peniaga-peniaga vape.

Dan kerana itulah, tidak mustahil fatwa haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya akan dipandang sepi.

Begitupun, Kerajaan Johor dan Kelantan berbeza pendirian dengan kerajaan Pusat. Walaupun ramai peniaga mengadu menanggung kerugian namun kerajaan kedua-dua negeri itu tetap tegas mengharamkan penjualan vape bermula 1 Januari 2016.

Negara jiran, Singapura, telahpun mengharamkan vape berkuatkuasa 15 Disember lalu.

Namun begitu, keputusan Johor dan Kelantan untuk mengawal penggunaan vape itu dijangka tidak memberi kesan besar selagi kerajaan Malaysia atau lebih khusus lagi Kabinet, tidak berfikiran sama seperti kerajaan Singapura.

Mengapa penggunaan vape menjadi popular sekelip mata? Alasan vaping cara terbaik untuk menghilangkan ketagihan merokok tidak masuk akal. Kalau mahu berhenti merokok, pergi saja Klinik Berhenti Merokok yang disediakan Kementerian Kesihatan di hospital daerah dan poliklinik. Kerajaan sudah berbelanja berjuta Ringgit untuk kempen Taknak Merokok kenapa tidak memanfaatkannya?

Buruknya vape ini apabila bukan perokok pun turut menggunakannya. Pengguna bawah umur termasuk pelajar sekolah pun semakin meningkat. Begitu juga pengguna wanita. Berkepul-kepul asap kononnya ‘naga’ betina’ seperti yang ditunjukkan dalam rakaman video di laman sosial. Bertudung pulak tu, sungguh menjengkelkan.

Ada juga ibu bapa yang mengajar anak kecil menghisap vape. Alasannya sebagai hiburan kerana asapnya yang banyak. Ibu bapa jenis apakah itu?

Pendek kata isu vape ini takkan selesai selagi kerajaan tidak membuat pendirian tegas dan tetap. Tidak bolehkah Kabinet mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya keluarkan garis panduan atau peraturan untuk peniaga-peniaga vape untuk diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara?. – FMT

SHARE
Previous articlePutrajaya Gagal Lindungi Hak Rakyat – SUARAM
Next articleKerajaan Guna Saluran Diplomatik Bawa Pulang Mayat Then – Zahid