Desak Mukhriz Undur Taktik Alih Isu SRC – PAS

348
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tindakan Umno Kedah secara tiba-tiba mendesak menteri besar berundur dilihat seperti bertujuan mengalihkan perhatian daripada tindakan terkini peguam negara memulangkan kertas siasatan SRC International kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata PAS hari ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sesuatu yang menghairankan apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiba-tiba menjadi bahan berita utama semua media hari ini.

Beliau membandingkan usaha menyingkirkan Mukhriz itu dengan peralihan kuasa di Terengganu pada 2014, di mana ketika itu, orang yang cuba mengalihkan perhatian media ialah bekas menteri besarnya Datuk Seri Ahmad Said, dan bukan keseluruhan jentera Umno Terengganu.

“Kebetulan pada waktu ini, Umno Kedah sebulat suara mengalihkan perhatian media daripada tindak-tanduk peguam negara, SPRM dan juga kebisuan Datuk Seri Najib Razak terhadap masa depan Mukhriz sebagai menteri besar Kedah.

“Krisis kepimpinan Kedah tiba-tiba menjadi sajian utama semua media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, apa yang berlaku di Terengganu dan Kedah adalah berbeza.

“Umno Kedah perlu menggunakan media untuk membuat rayuan terbuka terhadap sesuatu isu yang boleh dianggap masalah dalaman parti.

“Apakah ini juga satu ‘kebetulan’ atau taktik mengalihkan perhatian?” soalnya.

Tuan Ibrahim dalam tulisannya yang bertajuk “Kebetulan” itu juga membangkitkan mengenai penafian SPRM terdapat 37 tuduhan terhadap perdana menteri berhubung kes SRC International.

“Cuma tidak pasti, SPRM menafikan ada pendakwaan terhadap Najib atau menafikan angka ’37’ sebagai tidak tepat,” katanya.

Tuan Ibrahim, dalam usaha menarik kembali perhatian kepada siasatan SPRM ke atas perdana menteri, menasihati Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali agar tidak menjadi hakim terhadap penemuan badan anti rasuah itu.

“Jika kes ini dibawa ke mahkamah, peguam negaralah yang akan bertindak mewakili kerajaan akhirnya untuk bertempur dengan peguam defendan perdana menteri di mahkamah.

“Tugas mewakili kerajaan adalah sejajar dengan nama peguam ‘Negara’. Peguam negara bukan peguam perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata, janganlah kerana hakikat itu, peguam negara menjadi hakim sendiri sebelum kes tersebut didengar hakim mahkamah yang sepatutnya.

“Biarlah hakim mahkamah dan perdana menteri sendiri membersihkan namanya di mahkamah.

“Hanya dengan cara itu, persepsi buruk terhadap perdana menteri di kalangan rakyat mungkin dapat diselamatkan,” katanya.

Pada Isnin, Jabatan Peguam Negara mengembalikan kertas siasatan berhubung kes bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu dan derma RM2.6 bilion kepada SPRM, bagi mendapatkan penerangan lanjut.

Apandi dalam satu kenyataan berkata, beliau mahu maklumat lanjut mengenai cadangan dan saranan dibuat SPRM dalam kedua-dua kes itu. – INSIDER

SHARE
Previous articleBeri Peluang Mukhriz Terus Pimpin Kedah – Muhyiddin
Next articleMajlis Fatwa Negeri Sabah Putuskan “Vape” Haram