Isu MB Kedah: Pendirian 19 Adun BN Kekal – Ahmad Bashah

275
0
SHARE

ALOR SETAR: Semua 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Kedah tetap dengan pendirian masing-masing ketika bertemu Perdana Menteri di ibu negara untuk menukar Menteri Besar, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, bagaimanapun wakil rakyat terlibat akan menerima sebarang keputusan yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Semua 19 Adun yang menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri pada Ahad kekal dengan pendirian masing-masing.

“Speaker juga turut hadir, menjadikan jumlahnya 20 wakil rakyat setakat ini,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Isnin.

Ditanya sama ada pendirian 14 ketua bahagian Umno negeri itu akan disampaikan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Ahmad Bashah berkata, ia akan dimaklumkan jika diminta berbuat demikian.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Ahad meminta supaya semua pengkritik memohon maaf kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Yang di-Pertuan Agong.

“Diharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Dilaporkan, Najib menemui wakil rakyat BN di kediaman peribadinya di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Ahad.

Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam dan Adun Jitra, Datuk Aminuddin Omar tidak hadir pada pertemuan itu.