Isu 1MDB, Dana RM2.6 Bilion Paling Popular Dalam Mesyuarat Pemuda UMNO

203
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kontroversi 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion menjadi isu popular dalam Mesyuarat Pemuda UMNO bahagian di seluruh negara.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, rata-rata perwakilan UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi perhatian dan menyelesaikan masalah berbangkit berkenaan dua isu utama itu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Najib selaku Presiden dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada September ini, selepas selesai Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dijadual pada 9 September.

Katanya, beliau akan membawa kesemua usul yang dibawa oleh Pemuda UMNO kepada Presiden untuk menyampaikan pandangam akar umbi.

Usul untuk termasuklah desakan supaya Najin meletak jawatan yang diputuskan oleh Pemuda UMNO Bahagian Tampin.

“Saya telah terima semua usul ini dan telah menelitinya. Ia dilakukan supaya kita dapat memahami keadaan dari akar umbi. Kita juga mengambil ketetapan untuk terus memperkukuhkan parti UMNO.

“Kita juga akan terus menguatkan jentera parti selain yakin dengan komitmen yang diberikan Pemuda untuk terus memperkukuhkan parti agar kemelut yang melanda pada hari ini dapat diselesaikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat UMNOd di PWTC pada Isnin.

Sebanyak 182 UMNO bahagian telah selesai mengadakan mesyuarat.