Isteri Wakil Rakyat Perlu Bijak Berdepan Maklumat Dalam Media Sosial – Rosmah

182
0
SHARE

IPOH: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan supaya isteri wakil rakyat menggunakan kebijaksanaan dan kematangan mereka apabila berdepan maklumat yang terdapat dalam media sosial.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), berkata maklumat yang diterima perlu diselidik terlebih dahulu kesahihannya dan mereka kemudian boleh membantu memperbetul maklumat yang salah, tidak tepat atau palsu.

“Puan-puan juga boleh menjadi orang tengah dan perantara berkesan antara rakyat dan kerajaan dalam menyampaikan maklumat serta dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat.

“Hakikatnya, media sosial harus berperanan membawa kebaikan bukannya dijadikan alat memfitnah serta mengelirukan pemikiran orang ramai, terutama generasi muda,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Tahunan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTIWRBNM) 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai isteri kepada pemimpin negara, mereka bertanggungjawab memastikan keamanan dan kesejahteraan yang terbina terus dipelihara supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Rosmah turut mengingatkan semua anggota badan amal itu supaya tidak sesekali membenarkan mana-mana pihak meniup api perkauman, memainkan sentimen agama serta menjaja fitnah, kebencian dan cubaan meruntuhkan kesepakatan sedia ada.

“Sesungguhnya membina adalah lebih sukar daripada meruntuhkan. Ibarat kata pepatah ‘lidi sebatang boleh dipatahkan tapi seberkas lidi mana mungkin boleh dipatahkan’. “Begitulah hebatnya kekuatan yang lahir dari kesepakatan dan perpaduan yang sedia terjalin antara semua komponen parti Barisan Nasional.

“Seperti kata-kata hikmah Woodrow Wilson, mantan Presiden Amerika Syarikat yang ke-28, ‘we cannot be separated in interest or divided in purpose. We stand together until the end’ (kita tidak boleh dipisahkan kerana kepentingan atau dibahagi kerana tujuan. Kita berdiri bersama-sama sehingga ke akhirnya),” katanya.

Beliau berkata sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian, anggota badan amal itu perlu menjauhkan sikap ‘seperti enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuk masing-masing’.

“Amalan mementingkan diri sendiri ini dan budaya fitnah tanpa memikirkan sensitiviti orang lain, jelas akan memudaratkan sikap toleransi dan hormat-menghormati dalam kalangan rakyat yang hidup di bawah satu bumbung negara Malaysia.

“Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah-belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa sebaliknya harus bersatu mara ke hadapan dan sama-sama memajukan negara berasaskan perpaduan nasional,” katanya.

Menyentuh PTIWRBNM 2015, Rosmah berkata perhimpunan berkenaan adalah satu inisiatif yang amat positif bagi memupuk kesepakatan antara isteri pemimpin Barisan Nasional sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata pada perhimpunan kali ini, Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan ‘Perak Silver Youth Fest’ dan semua pemimpin, termasuk dari Perak, bersama isteri masing-masing dijangka menyertai festival yang membabitkan 10,000 belia di negeri ini.

Festival itu dijangka dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad ini.