Islam Diserang Dari Pelbagai Sudut – Nasharuddin

124
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kederhanaan Global (GMM), Nasharuddin Mat Isa mendakwa agama Islam di negara ini diserang dari pelbagai sudut dan kerana itu memerlukan program ‘serangan balas’.

Bercakap dalam dalam forum sempena Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 malam tadi, Nasharuddin mendakwa serangan secara rapi turut dilakukan terhadap agensi tertentu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

“Tuan puan tak nampak ke sekual yang diatur begitu rapi dengan serangan terhadap Jakim, Yapiem?

“Kerana apa? Sebab institusi Islam, dia serang program kita hari ini kenapa? Kerana umat Islam hendak duduk berbincang, bukan nak pakat apa-apa baru nak bincang sudah diserang,” kata bekas Timbalan Presiden Pas itu.

“Sebentar tadi saya dapat maklumat kita diserang dari pelbagai sudut.

“Tidak apa kalau mereka mahu serang tapi kalau kita tak ada program ‘serangan balas’ kita akan terus diserang hingga penghujung,” tegasnya dalam forum yang dinamakan ‘Forum Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi’.

Forum itu melibatkan dua lagi panel iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Besar Kelantan,

Datuk Nik Mohd Amar. Manakala Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaafar bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Nasharuddin mendakwa tahun 2018 akan lebih mencabar apabila isu-isu melibatkan agama Islam akan dibawa ke medan antarabangsa dalam proses yang dikenali sebagai Universal Periodic Review (UPR) atau pun Semakan Berkala Sejagat.

Katanya, isu-isu melibatkan mahkamah syariah, kedudukan Islam dalam perlembagaan akan dicabar sekali lagi dan ia akan menguji sejauh mana institusi Islam di negara ini dapat dipertahankan.

G25 tidak boleh dipandang enteng

Selain itu, Nasharudin mendakwa pandangan kumpulan profesional Melayu, G25 dilihat berbahaya dan boleh mencabar kedudukan Islam.

“Kalau kita lihat dalam beberapa pendirian yang dibuat itu… pendirian yang ekstrem.

“Cuma apabila ia menyentuh kedudukan Islam, mencabar institusi-istitusi Islam, cabar perundangan Islam, ia tak boleh dianggap enteng,” katanya.
Mengulas adakah keperluan untuk NGO tersebut dibubarkan, Nasharuddin berkata ia tidak perlu.

Bagaimanapun beliau mahu anggota kumpulan G25 mengetahui lebih mendalam tentang hal ehwal Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.