Iphone Baru Cipta Rekod Jualan 13 Juta Unit Pada Minggu Pertama Di Pasaran

147
0
SHARE

iPhone_6SNEW YORK: Apple mengumumkan yang mereka telah mencipta rekod jualan baru telefon pintar iPhone apabila 13 juta unit edisi baru 6S dan 6S Plus terjual pada minggu pertama jualan di seluruh dunia.

Angka tersebut telah mengatasi rekod jualan untuk tahun lalu yang menyaksikan Apple berjaya menjual 10 juta iPhone 6 dan 6 Plus pada minggu pertama jualan.

Menyatakan demikian dalam satu kenyataan pada Isnin, Apple menjelaskan produk baru mereka itu akan dijual di lebih 40 buah negara lagi menjelang 9 Oktober nanti dan 130 buah negara pada hujung tahun.

“Jualan untuk iPhone 6S dan iPhone 6S Plus telah menjadi satu fenomena dengan mengatasi rekod jualan minggu pertama dalam mana-mana sejarah jualan produk telefon pintar Apple,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook.

Kejayaan itu tidak tersasar jauh daripada apa yang diramalkan oleh para penganalisa teknologi yang menjangkakan jualan minggu pertama iPhone akan mencecah antara 12 hingga 13 juta unit.

Faktor utama yang menyumbang kepada jumlah jualan yang besar ini ialah membuka akses kepada pasaran China terlebih dahulu.

Akhbar Amerika, USA Today melaporkan, penganalisi S&P Capital IQ, Angelo Zino meramalkan yang 76 juta unit iPhones 6S dan 6S Plus akan membanjiri pasaran dunia menjelang Disember ini.

Tahun lalu Apple mengeluarkan 74.5 juta unit versi iPhone 6 dan 6 Plus untuk pasaran dunia.

Tahun ini juga menyaksikan China menjadi antara negara pilihan pertama untuk pelancaran produk baru iPhone – satu pengiktirafan strategi pemasaran ke atas negara itu sebagai negara konsumer nombor satu dunia.

Jualan untuk model iPhone 6S di China dijangkakan sekitar 2 hingga 2.5 juta unit, kata penganalisis FBR Capital Markets, Daniel Ives sebagaimana yang dipetik oleh USA Today.

Model iPhone 6S dan 6S Plus memperkenalkan ciri baru Sentuhan 3D yang unik dan juga kualiti foto yang lebih baik: 12 megapixels.