Inovasi: TPM Mahu Syarikat Swasta Lebih Komited

7
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan menagih komitmen daripada syarikat-syarikat swasta untuk turut sama membuat pelaburan dalam pembangunan inovasi bagi memastikan sasaran Malaysia sebagai 20 negara terbaik di dunia menjelang 2050 dicapai lebih awal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal itu penting bagi memastikan Malaysia dapat menyaingi perkembangan pesat negara-negara lain yang kini memperkenalkan pelbagai kemajuan dan produk inovasi masing-masing.

Jelasnya, inovasi bukan setakat tertumpu kepada perniagaan semata-mata malah amat diperlukan dalam soal keselamatan negara apabila kecekapan pihak berkuasa tempatan juga diukur dari segi penerapan teknologi terkini bagi mengekang aktiviti jenayah moden.

“Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukkan melalui kementerian dan agensi, tetapi bagi memastikan sasaran untuk meletakkan Malaysia sabagai antara negara yang mempunyai pencapaian inovasi yang baik pihak swasta perlu mempamerkan kesungguhan yang sama.

“Saya yakin sekiranya kesemua pihak memberi kesungguhan yang sama, Malaysia mampu menjadi antara 20 negara terbaik di dunia lebih awal sebelum 2050 seperti yang diharapkan menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya semasa merasmikan Pameran Ekonomi Kreatif dan Inovasi Kebangsaan 2017 (Nice 2017) yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

SHARE
Previous articleShafie Dalam Senarai SPRM
Next articleKPLI Akan Diperkenalkan Semula Jika Kurang Guru