Inovasi DBP Menjadi

814
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

KUALA LUMPUR : Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan idea yang segar, di luar kebiasaan dan berbeza daripada kaedah konvensional dilihat berjaya memartabatkan semula badan bahasa itu setelah sekian lama dilihat lemah lesu dan tidak bermaya.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan dalam ucapannya pada Hari Inovasi dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 DBP di Auditorium DBP semalam menyifatkan inovasi yang diperkenalkan telah meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan berorientasikan pasaran dan pelanggan.

“DBP turut melakukan inovasi sosial dengan memperluas saluran dan akses masyarakat kepada perkhidmatan kami seperti saranan Perdana Menteri dengan mewujudkan kedai buku mini, Ujana Buku sebagai satu inovasi dalam pemasaran produk DBP termasuk di Sabah dan Sarawak,” jelasnya yang kemudian memaklumkan perkhidmatan terbaru penghantaran cepat menggunakan motosikal di sekitar 30 km radius di Lembah Klang dan bakal dikembangkan ke Kota Kinabalu dan Kuching tidak lama lagi.

Tambah Awang Sariyan lagi cabaran terbesar DBP ialah untuk memulihkan imej korporat dan mengembalikan keyakinan masyarakat terutama selepas pemulihan dan pengambilalihan semula fungsi komersial yang diswastakan secara kontrak selama 12 tahun kepada Syarikat Dawama Sdn Bhd sejak 2002 dan berakhir 31 Ogos tahun lalu.

“Sepanjang setahun pengambilalihan ini, berlaku peningkatan apabila jumlah saluran edaran dan jualan DBP di seluruh negara mencecah 2, 364 outlet. Buku DBP juga boleh turut diperoleh di laman sesawang, buku.dbp.com, koopdbp.com.my, LAZADA.com.my dan 11street.my,” tambahnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang merasmikan majlis tersebut turut menekankan peranan penting DBP dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 terutamanya dalam aspek pembangunan dan penyebaran ilmu pengetahuan.
“Sasaran utama PPPM 2013-2025 adalah untuk melahirkan pelajar berkemahiran termasuk dari segi kepimpinan, dwibahasa, berfikir, ilmu pengetahuan, etika dan kerohanian yang tinggi.

“Maka, DBP perlu memainkan peranan untuk menghasilkan bahan pembelajaran yang bertunjangkan kreativiti dan inovatif selain mampu menarik minat pelajar mencintai ilmu pengetahuan,” katanya sambil memetik kedudukan Malaysia di tangga ke-32 dalam laporan Indeks Inovasi Global (GII) tahun ini.

Beliau turut menyarankan DBP mengekalkan kreativiti dan inovasi termasuk melalui kerjasama bestari dan sinergi dengan pihak luar yang turut menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Tambahnya, dalam usaha membudayakan inovasi, DBP disaran meningkatkan kerjasama bestari dan sinergi dengan pihak luar yang turut menyumbang ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.

Turut diraikan pada majlis tersebut ialah 65 kakitangan DBP yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta penerima Hadiah Karyawan Inovatif Ketua Pengarah DBP, Hadiah Galakan Inovasi DBP, Anugerah Citra Karya DBP, Anugerah Citra Penerbitan DBP, Anugerah Citra Program/Projek DBP dan Anugerah Citra Sahabat DBP.