Hormatilah Perasaan Keluarga Mangsa Lahad Datu – Zahid

85
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengingatkan kesemua pemimpin negara bersikap lebih sensitif terutama sekali perkara yang melibatkan isu kesultanan Sulu.

Menteri dalam negeri itu mengulas tindakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bertemu Jacel H Kiram, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

“Mana-mana pemimpin politik harus sensitif dengan perkara ini. Terutamanya apabila ia melibatkan kedaulatan negara. Ia seolah-olah memberikan sokongan dan dokongan atas perbuatan itu,” kata Zahid kepada pemberita.

Ditemui selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China di ibu negara, Zahid berkata walaupun polis akan mengambil keterangan Nurul Izzah namun apa yang penting sekarang adalah perasaan ahli keluarga mangsa kekejaman kesultanan Sulu itu.

“Pihak polis akan mengambil keterangan dari Nurul Izzah. Apa yang penting sekarang adalah perasaan keluarga pahlawan negara yang gugur atas tindakan Jamalul Kiram,” kata anggota Parlimen Bagan Datoh itu.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Nurul Izzah akan dipanggil memberi kenyataan minggu depan berikutan tindakannnya yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara.

Beliau berkata Nurul Izzah boleh disiasat bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Jacel sebelum ini memuat naik empat keping gambar pada 9 November lepas dalam akaun Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah.

Bagaimanapun setelah berdepan dengan kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak, Nurul Izzah akhirnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terguris dengan gambar beliau bersama Jacel itu.

Pada Februari 2013, kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memasuki perairan negara dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Insiden itu menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera manakala 12 penceroboh bersenjata terbunuh.

Enam lagi anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Simunul, Semporna dan dua anggota tentera turut terbunuh ketika bertempur dan kemalangan dalam operasi di Lahad Datu.