‘Hormat Tetamu, Jangan Demo Anti-Obama’ – Zahid

202
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Timbalan perdana menteri berharap himpunan membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama esok tidak diteruskan sebagai langkah menghormati tetamu.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadiran Obama dan tetamu asing dalam sidang kemuncak Asean yang dihoskan Malaysia adalah penghormatan kepada negara ini.

Malah, kata Zahid, bantahan sama sudah pun dibuat di Putrajaya dua minggu lalu.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya menghormati perbezaan pandangan serta menyampaikannya dengan cara membina dan terbuka.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini ketika ditanya pemberita berhubung rancangan protes di kedutaan AS esok.

Obama dijadual tiba di negara ini esok untuk acara Asean di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau akan berada di Malaysia sehingga Isnin depan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) semalam mengumumkan bantahan itu yang akan diadakan bermula di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur pada jam 2 petang esok.

Kumpulan itu melihat kehadiran Obama bertujuan mendorong Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang disifatkan mereka berat sebelah dan hanya menguntungkan syarikat AS. – MK