Hillary Clinton Tidak Sokong TPPA

143
0
SHARE

WASHINGTON: Calon presiden Amerika Syarikat (AS) daripada parti Demokrat, Hillary Clinton berkata beliau tidak menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), antara dasar strategik utama Presiden Barack Obama berhubung Asia.

Clinton yang menyokong pakatan 12 negara itu ketika menjawat sebagai Setiausaha Negara dalam penggal pertama pentadbiran Obama berkata, beliau bimbang perjanjian itu tidak mempunyai kawalan mencukupi untuk mengekang manipulasi mata wang atau melindungi pengguna daripada harga ubat-ubatan yang mahal.

“Piawai yang ada sangat tinggi, berdasarkan apa yang ada, saya tak percaya perjanjian itu sudah memenuhinya,” kata Clinton dalam kenyataan yang dikeluarkan ketika berkempen di Iowa.

“Saya tidak fikir kita boleh terus sekadar percaya saja manfaat perjanjian ini. Risikonya terlalu tinggi. Meskipun kita berusaha keras, ia mungkin memberikan lebih kesan buruk berbanding kebaikan,” katanya.

Rundingan TPPA yang dimuktamadkan pada Isnin, bertujuan mewujudkan liberalisasi perdagangan dalam kalangan negara anggota yang merangkumi 40 peratus ekonomi dunia dan pada masa sama menjadi legasi dasar, kemenangan kepada Obama.

Bantahan Clinton itu mungkin boleh membantunya mengukuhkan sokongan daripada kumpulan buruh dan kumpulan liberal dalam Demokrat yang membantah TPP kerana bimbang akan menjejaskan pekerjaan dalam sektor pembuatan dan melonggarkan lagi undang-undang alam sekitar.

Dalam kalangan Demokrat, Obama dan Naib Presiden, Joe Biden selalu menyuarakan keperluan TPPA disokong kerana ia akan membantu AS meningkatkan pengaruh di Asia Timur dan mengekang kebangkitan China yang tidak termasuk dalam kumpulan itu. – Reuters