“Hidup Mukhriz, Tak Mau Bashah” Dilaung

172
0
SHARE

ALOR SETAR: Selepas pemimpin mereka ‘diasak’ oleh sebahagian pemimpin parti sendiri, penyokong Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkumpul di Bangunan Tunku Alor Setar sebagai menandakan sokongan terhadap Menteri Besar Kedah itu malam ini.

Dianggarkan ada kira-kira 1,000 orang berkumpul di depan bangunan menempatkan Ibu Pejabat Umno Kedah itu sambil melaungkan “Hidup Mukhriz!” berkali-kali.

Mereka juga membawa sepanduk menggesa Mukhriz dikekalkan sebagai menteri besar.

Pada ketika lain, sesekali terdengar juga jeritan marah mereka yang menjeritkan “Hancur Najib” – merujuk kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laungan lain yang dapat didengar melalui rakaman video ialah “Tak mau Bashah”.

Kira-kira jam 9.50 malam anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu dilihat tiba di bangunan berkenaan dan disambut meriah penyokongnya.

Sebahagian daripada mereka dilihat cuba bersalam dengan Mukhriz.

Petang tadi Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengetuai pimpinan parti peringkat negeri menyatakan rasa tidak yakin mereka kepada kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan ketua perhubungan Umno negeri.

Ahmad Bashah adalah Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah.

Mendakwa mendapat sokongan daripada semua ketua bahagian di negeri itu Ahmad Bashah meminta Najib campur tangan dengan mengetepikan Mukhriz daripada jawatan menteri besar. – MK