Hercules C-130 Bawa Pulang Mangsa Nahas Chiang Mai

86
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan pesawat Hercules C-130 bagi membantu urusan membawa pulang mangsa yang cedera dan terkorban dalam nahas bas di Chiang Mai, Thailand.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pesawat itu dijangka berlepas ke sana dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pukul 5 petang ini.

Pihak Thailand juga akan menghulurkan bantuan bilateral dengan menghantar pesawat sama dari Angkatan Tentera Diraja Thailand. Penerbangan Hercules C-130 ke sana dijangka mengambil masa tiga jam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutupan kursus dan penyampaian Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri ke-35 kepada 40 peserta di sini, Selasa.

Sementara itu, di BATU PAHAT, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata jenazah 13 mangsa nahas itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor petang esok.

Beliau berkata pesawat Hercules C-130 itu dijangka turut membawa pulang keluarga mangsa dan mereka yang cedera dalam kemalangan terbabit.

“Saya baru sahaja menerima perkembangan terkini daripada Wisma Putra bahawa mesyuarat penyelarasan mengenai nahas itu baru selesai.

“Berdasarkan maklumat, kesemua jenazah hanya akan dihantar balik ke Malaysia esok petang disebabkan urusan pengesahan Asid Deoksiribonukleik (DNA) belum selesai,” katanya kepada pemberita selepas melawat tiga keluarga mangsa nahas itu di Batu Pahat hari ini.

Beliau berkata setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, perjalanan kesemua jenazah ke kampung halaman masing-masing di Batu Pahat akan diuruskan oleh ambulans yang disediakan Kementerian Kesihatan.

Tee berkata kerajaan negeri Johor sekali lagi merakamkan takziah kepada kesemua keluarga mangsa nahas itu dan akan melakukan yang terbaik dalam menyelaras pengurusan jenazah dan mangsa yang terselamat.

Ahad lepas, seramai 13 daripada 22 warganegara Malaysia disahkan terkorban dalam nahas bas yang berlaku pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).

Menurut laporan berita antarabangsa, bas itu terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap, ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai.

SHARE
Previous articleTeksi Percuma Untuk Ibu Mengandung Mulai Tahun Depan
Next articleSidang Khas TPPA Di Parlimen Bulan Depan – Mustapa