Hentikan Mengaku Bersih – DAP

203
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mesti menghentikan cubaan ‘membersihkan’ dirinya daripada sebarang jenayah berkaitan ‘derma’ RM2.6 bilion selepas kenyataan terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang beliau masih disiasat, kata DAP.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, perdana menteri tidak boleh pergi ke merata tempat dan menghebahkan beliau bersih apabila SPRM sendiri yang sedang menyiasatnya belum mengesahkan perkara itu.

“SPRM sebelum ini menyatakan mereka akan meminta Najib memberi penjelasan berhubung derma yang diterimanya.

“Oleh itu, sangat jelas SPRM tidak pernah membersihkan status perdana menteri kerana menerima ‘derma’ dari Timur Tengah yang diragui dan disyaki itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua berkata, rakyat tidak boleh dipersalahkan sekiranya terus mencurigai misteri wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib kerana beliau sendiri berkeras enggan menjelaskan isu tersebut.

Katanya, langkah terbaik yang harus diambil Najib ialah tampil secara sukarela ke pejabat SPRM bagi membolehkan satu siasatan lengkap dan menyeluruh dijalankan.

“Beliau sudah tentu berhak tampil bersama barisan peguamnya bagi memastikan tidak membuat sesuatu yang menunjukkan beliau bersalah dalam proses itu,” katanya.

SPRM dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, siasatan terhadap derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib masih diteruskan.

Katanya, ia sebelum ini dalam kenyataan pada 3 dan 5 Ogos, hanya menyebut dana RM2.6 bilion itu merupakan sumbangan daripada penderma berasal dari Timur Tengah dan bukannya dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM berkata, pihaknya mahupun Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim Mohamed tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang siasatan berkenaan isu dana RM2.6 bilion itu ditutup.

Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, jika Najib atau menteri lain terus memberi tekanan kepada SPRM untuk “membersihkan” perdana menteri, maka mereka bersalah melakukan jenayah yang sama didakwa dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

“Ketika itu, Anwar dihukum penjara 6 tahun kerana menggunakan pengaruh tidak wajar terhadap 2 pegawai polis Cawangan Khas yang menyiasat beliau atas tuduhan jenayah seksual,” kata Pua.

Katanya, sambil rakyat Malaysia percaya tuduhan terhadap Anwar sesuatu yang direka, tuduhan terhadap Najib pula terang-terangan jelas kerana beliau didakwa secara konsisten membuat kenyataan palsu bagi pihak SPRM.

Najib pada 8 Ogos ketika pembukaan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Bandar Tun Razak dilaporkan mengakui yang SPRM membersihkan beliau daripada sebarang tuduhan rasuah berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya. – INSIDER

SHARE
Previous articleBN Tidak Akan Benarkan Cubaan Tubuh Kerajaan Ikut Pintu Belakang – Zahid
Next articlePRU Dalam Masa Terdekat – PM Singapura